am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Dua penunggang motosikal maut dirempuh kereta yang terbabas memasuki laluan bertentangan di Kilometer 24.9, Jalan Johor Bahru – Gelang Patah – Pendas di sini.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, dalam kejadian jam 7.20 pagi tadi, kereta dinaiki tiga individu hilang kawalan ketika melalui selekoh basah.
Menurutnya, kereta itu kemudian memasuki lorong bertentangan sebelum merempuh dua motosikal.
“Kedua-dua penunggang motosikal membabitkan lelaki warga tempatan masing-masing berusia 34 dan 50 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki. Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat,” katanya.
Menurutnya, pemandu dan dua penumpang kereta berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian.
“Orang awam atau saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi kaunter aduan bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik daerah Iskandar Puteri di talian 07-5101322,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




