am@hmetro.com.my
Kuantan: Wartawan kanan Astro AWANI yang bertugas di Pahang, Mohd Zailani Md Atan, meninggal dunia di kediamannya di sini hari ini.
Mohd Zailani, 66, dipercayai meninggal dunia dalam tidur akibat penyakit yang dihidapinya kira-kira jam 5 petang.
Isterinya, Suaibatul Aslmiah Abu Bakar, 52, berkata, suaminya kurang sihat dan mengalami kesukaran untuk berjalan sejak beberapa hari lalu.
“Keadaannya agak baik hari ini, tetapi masih kelihatan lemah,” katanya hari ini.
Beliau berkata, suaminya menghidap penyakit tekanan darah tinggi dan kencing manis.
Allahyarham Mohd Zailani meninggalkan seorang balu dan empat orang anak.
Beliau sudah berkhidmat dengan saluran berita televisyen berkenaan sejak tahun 2007.
Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Saidina Ali bin Abi Talib, Bukit Sekilau untuk disolatkan, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali pada jam 9 malam.
Pemergian Mohd Zailani mengejutkan ramai rakan media memandangkan Allahyarham kelihatan mesra dan ceria semasa menghadiri majlis makan malam media anjuran Pejabat Menteri Besar Pahang pada 20 Oktober lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




