Peneroka FELDA dipercayai maut ditetak

Peneroka FELDA dipercayai maut ditetak

am@hmetro.com.my

Kota Tinggi: Seorang peneroka maut dipercayai ditetak menggunakan kapak oleh seorang lelaki di FELDA Lok Heng Selatan di sini, hari ini.

Menurut sumber yang juga penduduk setempat, insiden berlaku selepas waktu Maghrib berhampiran kawasan rumah suspek.

Katanya, suspek dilaporkan mengamuk di tepi jalan dengan memegang senjata tajam dipercayai kapak menyebabkan penduduk berdekatan tidak berani menghampirinya.

“Orang kampung tidak berani masuk campur berikutan suspek memegang kapak dan sedang mengamuk,” katanya.

Difahamkan, selepas menyerang mangsa, suspek terus melarikan diri dengan menunggang motosikal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman ketika dihubungi berkata, kenyataan media berhubung kejadian itu akan dikeluarkan esok.

“Kes masih dalam siasatan,” katanya ringkas.

Terdahulu, tular di media sosial, perkongsian kejadian bunuh di FELDA Lok Heng Selatan.

Bagaimanapun tiada maklumat lain dikongsikan.

Namun, di ruangan komen, ada yang mendakwa kejadian berlaku berhampiran rumahnya dan ada juga yang memaklumkan mangsa ditetak di bahagian tangan menggunakan kapak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top