Sorok 2 kg dadah dalam motosikal, rakyat Malaysia ditahan di Singapura

Sorok 2 kg dadah dalam motosikal, rakyat Malaysia ditahan di Singapura

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang lelaki Malaysia berusia 24 tahun ditahan selepas pihak berkuasa Singapura menemukan lebih dua kilogram (kg) dadah, termasuk heroin dan methamphetamine yang disembunyikan di dalam motosikalnya di Pusat Pemeriksaan Tuas, Rabu lalu.

Dadah berkenaan terdiri daripada kira-kira 1,924 gram heroin dan 164 gram methamphetamine atau syabu dianggarkan bernilai lebih S$222,000 (kira-kira RM730,000).

Dalam satu hantaran di Facebook, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) berkata, pegawainya mengarahkan motosikal berdaftar di Malaysia itu untuk menjalani pemeriksaan lebih menyeluruh.

Menurutnya, ketika pemeriksaan, pegawai menemukan lima bungkusan yang disyaki mengandungi dadah di dalam sebuah beg yang disembunyikan di bawah baju hujan dalam kotak simpanan motosikal itu.

“Pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) segera dimaklumkan mengenai penemuan itu sebelum menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap lelaki berkenaan dan motosikalnya.

“Susulan itu, pihak berkuasa merampas kira-kira 1,924 gram heroin dan 164 gram methamphetamine,” katanya.

Menurut ICA, jumlah dadah yang dirampas itu berpotensi menampung ketagihan kira-kira 1,010 penagih dadah selama seminggu.

“Lelaki berkenaan ditahan dan siasatan masih dijalankan,” katanya.

Mengikut Seksyen 7 Akta Penyalahgunaan Dadah Singapura 1973, individu yang disabitkan kesalahan mengimport atau mengeksport lebih 15 gram diamorphine, yang juga dikenali sebagai heroin tulen, boleh berdepan hukuman mati.

ICA berkata, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan CNB bagi mencegah cubaan menyeludup dadah merentasi sempadan Singapura.

Menurutnya, pemeriksaan keselamatan akan terus dipertingkat bagi mengesan dan membanteras penyeludupan barangan terlarang, termasuk senjata, bahan letupan dan barangan seludup lain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top