Hannah mahu buru trofi di Kejohanan Golf Maybank 2026

Hannah mahu buru trofi di Kejohanan Golf Maybank 2026

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perasaan seperti ada urusan yang belum selesai menjadi pembakar semangat Hannah Green untuk kembali memburu kejuaraan pada Kejohanan Golf Maybank 2026, selepas impiannya menjulang trofi tahun lalu lebur di tangan Miyu Yamashita menerusi penentuan play-off.

Pemain Australia yang menghuni ranking ke-10 dunia itu muncul naib juara pada edisi lalu, mengakui masih menyimpan keinginan untuk memperbaiki pencapaian berkenaan, sekali gus menjadikan penampilan kali ini peluang terbaik untuk menebus kekecewaan di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC).

“Ya, saya rasa ada sedikit perasaan seperti urusan yang belum selesai. Namun, tahun lalu, saya juga bertuah kerana berjaya membawa saingan hingga ke lubang ke-72 dan mendapat peluang beraksi dalam play-off.

“Kali ini saya tampil lebih yakin selepas menghabiskan beberapa bulan kebelakangan ini di Australia. Saya berada dalam keadaan mental yang baik dan bersedia mengharungi beberapa kejohanan terakhir musim ini,” katanya.

Hannah turut berharap pengalaman serta rekod persembahan positif yang diraihnya di Malaysia sebelum ini mampu membantu meningkatkan prestasinya dalam usaha memburu kejuaraan.

Katanya, pemain juga perlu bijak mengurus tenaga ketika beraksi dalam cuaca panas, selain mengekalkan fokus mental bagi memburu catatan yang diperlukan untuk bersaing merebut kejuaraan.

Hannah turut menyifatkan sokongan peminat, termasuk penyokong dari Australia, sebagai antara faktor yang menambah motivasinya untuk memberikan persembahan terbaik di Malaysia.

Dengan persiapan yang lebih mantap serta pengalaman berharga dan tekad menyelesaikan urusan yang masih belum tuntas, Hannah kini memburu peluang untuk menukar kedudukan naib juara tahun lalu kepada gelaran juara pada edisi 2026.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top