ORIENTAL Kopi Holdings Bhd dijangka mengekalkan momentum pendapatan dan rancangan pengembangannya walaupun berdepan gesaan boikot baru-baru ini susulan ketiadaan terjemahan Bahasa Melayu dalam menunya.
Pengendali rangkaian kafe itu mengekalkan sasaran membuka kira-kira 10 cawangan baharu setiap tahun bermula tahun kewangan berakhir 30 September 2027 (FY27), dengan cawangan pertamanya di Jakarta dijangka dibuka lebih awal daripada jadual asal.
Susulan pertemuan dengan pihak pengurusan, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, jualan Oriental Kopi kekal berdaya tahan meskipun berdepan kontroversi tanpa perubahan ketara dilaporkan setakat ini dari segi jumlah kunjungan pelanggan.
“Kami kekal positif terhadap Oriental Kopi memandangkan perbincangan kami dengan pihak pengurusan menunjukkan gesaan boikot baru-baru ini susulan penggunaan bahasa pada menunya setakat ini tidak menjejaskan jualan.
“Paling penting, kami mendapati jualan kekal stabil setakat ini, tanpa perubahan ketara dalam jumlah kunjungan pelanggan di cawangannya,” katanya.
Kontroversi itu bermula pada awal Oktober selepas seorang pengguna media sosial membangkitkan ketiadaan terjemahan Bahasa Melayu dalam menu Oriental Kopi sebagai respons terhadap hantaran media sosial patriotik kumpulan itu, “Maka Kami”.
Susulan itu, pihak pengurusan dilaporkan telah menyiapkan reka bentuk menu baharu dalam tiga bahasa, dengan kos cetakan semula dianggarkan RM150,000 bagi kira-kira 2,000 buku menu.
HLIB Research berkata, perbelanjaan itu tidak material kerana hanya mewakili kira-kira 0.2 peratus daripada unjuran pendapatan terasnya bagi FY26.
Oriental Kopi juga sedang mengadakan perbincangan dengan saluran media dan pempengaruh media sosial untuk menampilkan menu yang telah disemak itu sebaik sahaja diperkenalkan.
Pihak pengurusan turut menjelaskan, menu berbahasa Cina tidak ditarik balik kerana menu berasingan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Cina sememangnya telah disediakan sebelum ini.
“Pihak pengurusan berkata perhatian yang diterima itu sebahagiannya mencerminkan peluasan ketara asas pelanggannya pada tahun ini, yang kami lihat secara positif kerana ia mengukuhkan daya tarikan jenama itu di seluruh negara.
“Pengurusan Oriental Kopi telah mengambil tindakan secara proaktif dan konstruktif untuk memperbetulkan keadaan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, HLIB Research menjangkakan keuntungan bersih teras Oriental Kopi bagi FY26 mencapai unjurannya sebanyak RM67 juta, sekali gus membayangkan keuntungan teras kira-kira RM18 juta pada suku keempat FY26 (4Q26), berbanding RM17 juta pada suku ketiga FY26 (3Q26).
Firma penyelidikan itu turut menyatakan, pihak pengurusan yakin terhadap trajektori pendapatan bagi tahun kewangan penuh, manakala harga bahan mentah kekal stabil susulan perbincangan dengan pembekal utama.
Sementara itu, kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 yang berkuat kuasa pada Jun 2027 dijangka memberi impak terhad memandangkan kebanyakan pekerja tempatan sudah memperoleh gaji melebihi paras tersebut.
HLIB Research menganggarkan, sekiranya semua pekerja asing, yang merangkumi 30 hingga 40 peratus daripada tenaga kerja, dibayar pada kadar gaji minimum semasa, kos kasar yang ditanggung hanya berjumlah kira-kira satu peratus daripada unjuran keuntungan bersih teras Oriental Kopi bagi FY27, sebelum mengambil kira langkah mitigasi.
Pengembangan perniagaan juga kekal mengikut perancangan, dengan cawangan di Aman Central, Merdeka 118, KL Midtown, Sutera Mall dan Genting dijadualkan dibuka dalam tempoh dua bulan akan datang.
Cawangan yang baru dibuka di Ombak KLCC dan NU Sentral pula mencatatkan prestasi sejajar dengan jangkaan.
Bagi pasaran luar negara, cawangan pertama Oriental Kopi di Jakarta disasarkan dibuka pada suku keempat FY26 (4Q26), lebih awal daripada tempoh 12 bulan yang diumumkan pada Ogos.
Mauritius dijangka menyusul pada separuh pertama FY27, manakala rundingan sedang dijalankan untuk memasuki pasaran negara lain pada tahun depan.



