RANTAU PANJANG: Dua lelaki ditahan dalam serbuan berasingan di sini oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi membantu siasatan kes rampasan dadah di sebuah premis kurier pada Sabtu lalu
Suspek pertama berusia 27 tahun itu ditahan ditahan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan di Taman Bakti di sini kira-kira pukul 7.30 malam semalam.
Sementara suspek kedua pula ditahan di tempat letak kereta Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, pada pukul 2 pagi tadi.
Memuatkan artikel berkaitan…
Komander Briged Tenggara Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, semasa ditahan suspek memaklumkan seorang wanita warga Thailand telah memintanya membantu menghantar bungkusan ke premis kurier di sini.
Katanya, bungkusan itu telah diambil di pangkalan haram Gergaji sebelum suspek meminta bantuan seorang individu lain untuk membawanya ke premis kurier berkenaan.
“Suspek memaklumkan menerima upah RM200 bagi urusan penghantaran bungkusan itu. Susulan maklumat tersebut, PGA menahan suspek kedua bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.
Ahmad Radzi memberitahu, suspek kedua memaklumkan bahawa dia menerima panggilan daripada suspek pertama, untuk membantu menghantar bungkusan berkenaan.
Katanya, kedua-dua lelaki ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Ujian air kencing mendapati suspek kedua positif amphetamine. Kedua-dua suspek diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan lanjut,” ujarnya.
Pada 25 Oktober lalu, Utusan Malaysia melaporkan, cubaan menyeludup dadah menggunakan perkhidmatan kurier dipatahkan PGA selepas merampas tujuh parcel mengandungi ganja, bunga ganja dan rokok elektronik berisi minyak kanabis di sini.
Rampasan pukul 1.30 petang itu dilakukan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan melibatkan tiga kilogram (kg), bunga ganja (56 gram) dan 10 kotak rokok elektronik mengandungi minyak kanabis.-UTUSAN




