KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia meneliti cadangan supaya cuti bersalin boleh dikongsi antara suami dan isteri bagi memberi kemudahan kepada pasangan untuk menjaga ibu serta bayi mereka.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, cadangan tersebut dilihat bermanfaat kerana membolehkan pasangan meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.
“Kita akan lihat kepada cadangan tersebut. Saya harap yang di belakang (pegawai kementerian) itu ambil nota mengenai perkara ini. Ia satu cadangan yang sangat baik.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Saya amat menyokong kalau orang bercerita mengenai keluarga untuk bersama,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2027 peringkat kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum ini cadangan tersebut dikemukakan Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang meminta kerajaan meneliti semula kemudahan cuti bersalin supaya tempohnya boleh dikongsi antara suami dan isteri.
Rodziah berkata, langkah itu dapat membantu pasangan menguruskan keperluan bayi selepas kelahiran, termasuk jika bayi mengalami jaundis atau demam kuning yang memerlukan penjagaan tambahan.
Beliau berkata, dalam keadaan tertentu, isteri mungkin perlu berkongsi tempoh cutinya dengan suami supaya kedua-duanya dapat bergilir-gilir menjaga bayi, sedangkan cuti paterniti yang diperuntukkan kepada suami adalah terhad.
Rodziah mencadangkan mekanisme perkongsian cuti itu dipertimbangkan bagi memberikan lebih fleksibiliti kepada ibu bapa dalam menguruskan penjagaan anak.
Ketika ini, pekerja wanita di Semenanjung Malaysia dan Labuan layak mendapat cuti bersalin minimum 98 hari, berbanding 60 hari sebelum pindaan Akta Kerja 1955 berkuat kuasa pada 1 Januari 2023.
Pekerja lelaki yang memenuhi syarat pula layak mendapat cuti paterniti berbayar selama tujuh hari berturut-turut di bawah akta sama. – UTUSAN




