'Hormati keputusan serah kerusi Bemban kepada Bersatu' – Amirudin

'Hormati keputusan serah kerusi Bemban kepada Bersatu' – Amirudin

yusri.muzamir@bh.com.my

Kuala Lumpur: Parti komponen Pakatan Harapan (PH) perlu menghormati keputusan gabungan itu menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban kepada calon BERSATU pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini mengambil kira faktor persefahaman antara PH dan BERSATU pada PRN Melaka, selain ketetapan itu dibuat secara kolektif oleh gabungan itu.

“Ini keputusan PH dan kita harus meletakkan (wakil BERSATU di DUN Bemban).

“Justeru, semua ahli parti wajar menghormati keputusan persefahaman dan parti masing-masing.

“Kita di PH berbincang secara terbuka, melihat kepada sebarang kebarangkalian dan kemungkinan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Amrudin yang juga Menteri Besar Selangor menyempurnakan Majlis Perasmian Sesi Penilaian Semula Gombak-Hulu Langat Geopark 2026.

Sabtu lalu, bekas Pengerusi DAP Melaka, Damian Yeo dilaporkan sanggup meninggalkan politik berbanding menyokong langkah PH menyerahkan kerusi DUN Bemban kepada calon BERSATU pada PRN Melaka.

Tindakan Yeo dibuat susulan pengkhianatan politik pada masa lalu yang menyukarkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong itu menerima sebarang cadangan kerjasama dengan BERSATU.

Sementara itu, Amirudin yang juga Naib Presiden PKR berkata sebarang keputusan melanjutkan persefahaman dengan BERSATU bagi PRN Sarawak atau Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) belum dimuktamadkan.

“Setakat ini kita belum diuji lagi dan akan tengok selepas PRN Melaka, apakah hasilnya nanti,” kata Ahli Parlimen Gombak itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin berkata, keputusan mengenai kerjasama PH dan BERSATU di Selangor belum boleh dimuktamadkan mengambil kira beberapa perbincangan lain yang perlu diputuskan terlebih dahulu.

“Kita tunggu kerana ia (kerjasama PH dan BERSATU di Selangor) membabitkan perbincangan lain yang panjang.

“Insya-Allah akan diputuskan segera dalam tempoh terdekat, mungkin ketika PRN Melaka atau selepas pilihan raya kelak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top