UrbanKit solusi tanam sayur di balkoni

UrbanKit solusi tanam sayur di balkoni

Kuala Lumpur : Kekangan ruang kediaman dan peningkatan kos sara hidup bukan lagi penghalang untuk masyarakat bandar bercucuk tanam menerusi UrbanKit, iaitu sistem penanaman kompak hasil kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bersama TMEH.

Inovasi yang dibangunkan sejak 2014 dan dikomersialkan pada 2016 itu diperkenalkan bagi memudahkan penduduk bandar mengusahakan tanaman sendiri seperti di balkoni, koridor dan halaman kecil sekitar rumah.

Menurut Penyelidik MARDI merangkap pereka UrbanKit, Mohd Johaary Abdul Hamid, sistem kompak berkenaan dilengkapi takungan air dan nutrien bagi membantu membekalkan keperluan tanaman dengan cekap tanpa bergantung kepada penyiraman manual harian.

“UrbanKit ini selain mudah dipasang dan diselenggara, ia tidak memerlukan peralatan elektrik yang kompleks seperti sesetengah sistem hidroponik aktif.

“Sistem ini sesuai untuk menanam pelbagai jenis sayur-sayuran berdaun seperti sawi, kailan dan bayam, serta sayuran berbuah seperti cili dan terung,” katanya.

Tambah Mohd Johaary, ia berpotensi menjimatkan penggunaan air sehingga 90 peratus berbanding kaedah penanaman biasa, sekali gus memudahkan penduduk bandar yang sibuk serta membantu mengurangkan kos perbelanjaan dapur.

Melalui kerjasama ini, MARDI menyumbangkan kepakaran penyelidikan dan pengesahan saintifik, manakala TMEH memberi tumpuan kepada pengeluaran, pengurusan logistik dan pengkomersialan produk.

UrbanKit bukan sahaja disasarkan kepada isi rumah bandar, malah sesuai dipraktikkan di institusi pendidikan, projek kebun komuniti serta kawasan Perumahan Rakyat (PPR) bagi menyokong agenda keterjaminan makanan negara.

Bagi perancangan masa hadapan, TMEH merancang memperluaskan pasaran UrbanKit ke peringkat antarabangsa serta mengintegrasikan teknologi pintar seperti sensor kelembapan dan sistem kawalan aplikasi bagi memenuhi keperluan pengguna moden.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top