KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu membantu lebih ramai rakyat Malaysia mencapai simpanan persaraan yang mencukupi dengan menyesuaikan diri terhadap perubahan corak pekerjaan di samping terus memberikan pulangan yang mampan, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, harapan KWSP selepas ulang tahun ke-75 penubuhannya perlu melangkaui usaha memperbesarkan saiz dana itu, sebaliknya menjadi institusi yang lebih relevan, inklusif dan memberikan impak dan pada masa sama terus berpegang kepada tanggungjawab terasnya untuk melindungi simpanan persaraan ahli.
Berucap pada Majlis Makan Malam Gala sempena ulang tahun KWSP ke-75 di sini kelmarin, katanya institusi persaraan moden perlu melihat ahli bukan sahaja sebagai pencarum tetapi sebagai individu yang mempunyai aspirasi dan tanggungjawab.
“Mereka membesarkan anak dan pada masa sama menjaga ibu bapa yang semakin berusia. Kehidupan mereka tidak sentiasa mengikut perancangan dan keperluan mereka berubah dari semasa ke semasa.
“Disebabkan itulah peranan KWSP berkembang daripada simpanan kepada jaminan kewangan, daripada jaminan kewangan kepada kesejahteraan dan daripada berkhidmat untuk ahli secara individu kepada membantu membina negara lebih berdaya tahan,” katanya.
Amir Hamzah yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KWSP sebelum dilantik sebagai Menteri Kewangan II pada 2023 berkata pengalaman beliau di institusi itu dan dalam kerajaan memberikan beliau dua perspektif mengenai peranan KWSP.
Dari perspektif kerajaan, beliau berkata kecukupan persaraan berkait rapat dengan daya tahan negara, keselamatan kewangan isi rumah menjadi asas kepada kestabilan ekonomi manakala simpanan jangka panjang menyediakan asas bagi pelaburan dan pertumbuhan ekonomi.
Sementara itu, Pengerusi KWSP Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, dana itu perlu terus berkembang seiring dengan perubahan Malaysia dan pada masa sama kekal berteraskan kepercayaan yang diberikan kepadanya serta tanggungjawab terhadap ahli.
© New Straits Times Press (M) Bhd




