Malaysia gesa ASEAN perkukuh kesiapsiagaan hadapi bencana

Malaysia gesa ASEAN perkukuh kesiapsiagaan hadapi bencana

PETALING JAYA: Malaysia menggesa ASEAN membangunkan keupayaan tindak balas bencana serantau yang lebih kukuh dan selaras bagi memastikan bantuan dapat digerakkan dengan pantas serta berkesan ketika bencana melanda.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ancaman bukan tradisional yang semakin kompleks memerlukan negara anggota meningkatkan kesiapsiagaan dan keupayaan bertindak secara bersama.

“Ancaman yang dihadapi ASEAN hari ini semakin kompleks, saling berkait dan berpotensi membawa kemusnahan yang lebih besar berbanding sebelum ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita perlu mengakui bahawa ancaman bukan tradisional bukan lagi sekadar kemungkinan yang jauh. Ancaman ini nyata, berulang dan semakin sukar untuk diketepikan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan sempena Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) Ke-20 di Cebu, Filipina hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, ASEAN sudah mempunyai mekanisme kerjasama menerusi Kumpulan Kesiagaan Tentera ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana (AMRG on HADR) yang menyediakan rangka kerja untuk menyelaras bantuan ketenteraan serta memudahkan penempatan aset ke kawasan terjejas.

Mekanisme itu turut digunakan dalam tindak balas ASEAN terhadap gempa bumi di Myanmar tahun lalu.

Katanya, usaha berkenaan perlu diteruskan dengan meningkatkan kesiapsiagaan operasi dan memperkemas penyelarasan supaya angkatan tentera negara anggota dapat bertindak dengan lebih berkesan.

“Kita perlu membina asas sedia ada ini bagi memperkukuh kesiapsiagaan operasi, menambah baik penyelarasan dan memastikan angkatan tentera kita dapat bertindak pantas serta berkesan apabila bencana melanda,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, usaha itu juga perlu melibatkan masyarakat dengan memperkukuh keupayaan rakyat untuk membuat persediaan, menghadapi dan pulih daripada kesan bencana.

“Ukuran sebenar kejayaan ADMM bukan sekadar kerjasama yang telah kita wujudkan tetapi juga keselamatan dan ketahanan yang dihasilkan melalui kerjasama tersebut,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top