sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kuching City FC (KCFC) mahu menjadikan aksi menentang Gangwon FC sebagai titik kebangkitan dalam saingan Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia II (ACL II), apabila kedua-dua pasukan memburu kemenangan pertama di Stadium Gangneung, Korea Selatan, esok.
Pengendali KCFC, Aidil Sharin Sahak akui, pasukannya berdepan masalah kecederaan menjelang pertembungan itu, namun berharap beberapa pemain yang masih dalam proses pemulihan dapat kembali memperkuatkan pasukan.
Antara pemain yang diragui ialah Ronald Ngah Wanja dan Juan Pedro, manakala Safawi Rasid turut mengalami kecederaan hamstring.
“Kami ada beberapa masalah kecederaan dan sedang dalam proses pemulihan. Ronald Ngah Wanja dan Juan Pedro juga 50-50, tetapi Juan masih mahu bermain dan memberikan sumbangan.
“Saya lihat Safawi mengalami kecederaan hamstring (ketika menentang Selangor FC dalam separuh akhir pertama Piala FA Jumaat lalu). Saya berharap mereka dapat diturunkan untuk aksi menentang kelab Korea nanti,” katanya.
Aidil berkata, beliau tidak mahu isu berkaitan jadual perlawanan dijadikan alasan, sebaliknya mahu pemain terus mengekalkan sikap positif dan memberikan persembahan terbaik meskipun berdepan pelbagai cabaran.
Menurutnya, komen negatif yang dilemparkan terhadap pasukan juga tidak seharusnya menjejaskan motivasi pemain, lebih-lebih lagi KCFC membawa cabaran Malaysia di pentas Asia.
“Saya tidak mahu menjawab kerana akhirnya nanti media akan tersalah tafsir dan saya bukannya mahu memberikan alasan.
“Seperti yang saya katakan, apa juga jadual perlawanan yang dikeluarkan, kita perlu menghormatinya dan apa juga halangan di depan, kita cuba memberikan yang terbaik.
“Paling penting, saya tidak mahu motivasi pemain jatuh disebabkan komen-komen negatif. Kita perlu sentiasa berfikiran positif kerana pasukan ini mewakili Malaysia, bukan saja Kuching dan bukan saja Sarawak.
“Jadi, perkara ini yang selalu saya tekankan kepada pemain supaya berfikiran positif dan meningkatkan permainan,” katanya.
Untuk rekod, skuad The Cats sebelum ini gagal meraih kemenangan dalam dua aksi terdahulu selepas tewas kepada Phnom Penh Crown dari Kemboja sebelum seri menentang wakil Hong Kong, Kitchee SC.
Gangwon FC turut belum mencatat kemenangan dalam dua perlawanan pertama, sekali gus menjadikan pertembungan itu peluang penting buat kedua-dua pasukan untuk menghidupkan kembali kempen mereka dalam saingan ACL II.
© New Straits Times Press (M) Bhd




