Natasha raih pengajaran berharga

Natasha raih pengajaran berharga

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain golf profesional wanita negara, Natasha Oon mengakui pengalaman berdepan kecederaan sehingga terpaksa berehat panjang daripada sukan itu mengubah perspektifnya terhadap kehidupan dan karier sebagai pemain profesional.

Natasha berkata, tempoh sukar itu mengajarnya mengenali diri sendiri di luar dunia golf, selain menyedarkan dirinya mengenai kepentingan mempunyai kehidupan dan sokongan sosial yang tidak hanya berkisar pada sukan berkenaan.

Beliau yang kembali beraksi pada Kejohanan Golf Maybank 2026 di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC), bermula esok berkata, kecederaan dialaminya bermula ketika menyertai edisi 2023 kejohanan itu sebelum keadaannya semakin serius menjelang penghujung tahun.

“Pada mulanya, saya tidak pasti sama ada kecederaan itu serius. Saya terus bermain, tetapi keadaan semakin teruk menjelang penghujung tahun sebelum menjalani pemeriksaan dan akhirnya terpaksa menjalani pembedahan.

“Selepas pembedahan, saya turut mengalami masalah saraf akibat penggunaan tongkat dan masalah kestabilan. Semuanya seperti satu proses jatuh bangun yang berterusan,” katanya pada sidang media menjelang kejohanan itu.

Natasha berkata, tempoh tanpa golf memberinya peluang mengenali dirinya sebagai seorang individu, bukan sekadar pemain profesional yang dinilai berdasarkan keputusan di padang.

“Dalam satu sudut, saya bersyukur kerana berpeluang merasai kehidupan tanpa golf. Saya dapat mengenali diri sendiri dalam situasi apabila saya tidak memperkenalkan diri sebagai pemain golf.

“Saya juga mendapat ramai rakan dan bersyukur mempunyai komuniti yang menyokong saya di luar pekerjaan. Apabila bermain kurang baik, mereka tidak hanya bercakap mengenai golf, sebaliknya mengajak saya keluar bersantai,” katanya.

Natasha yang kembali beraksi selepas kali terakhir menyertai kejohanan itu pada 2023 berkata, beliau kini lebih selesa berdepan tekanan dan perhatian penyokong berbanding sebelum ini.

Katanya, jika dahulu beliau merasakan perlu membuktikan kemampuan setiap kali turun beraksi, kini pendekatannya lebih santai dengan memberi tumpuan kepada permainan sendiri.

“Apabila kembali kali ini, saya masih gementar kerana ramai orang mengenali saya dan ingin mengetahui perkembangan saya. Namun, saya gembira dapat bertemu semula dengan ramai kenalan yang sentiasa memberikan sokongan.

“Kali terakhir saya bermain di sini, saya merasakan perlu beraksi dengan baik dan membuktikan apa yang sudah dipelajari. Sekarang, saya hanya mahu turun bermain, melihat apa yang berlaku dan menikmati pengalaman itu,” katanya.

Natasha turut menyifatkan pengalaman melalui tempoh sukar sebagai pengajaran berharga yang membantunya menghargai kehidupan di luar padang golf.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top