Dakwaan ‘mafia korporat’: Polis beku dan rampas aset cecah RM409 juta

Dakwaan ‘mafia korporat’: Polis beku dan rampas aset cecah RM409 juta

Polis membekukan dan merampas aset bernilai kira-kira RM409 juta dalam siasatan berterusan berhubung dakwaan aktiviti ‘mafia korporat’ yang masih dalam perhatian pihak berkuasa.

Polis rakam keterangan 70 individu

Memetik laporan daripada Berita Harian, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan, tindakan itu membabitkan lapan hartanah, 11 kenderaan, 417 akaun Sistem Depositori Pusat (CDS), 70 akaun dagangan saham bernilai sekitar RM323.59 juta serta 404 akaun bank dengan baki kira-kira RM85.62 juta.

“Setakat 25 September lalu, polis sudah merakam keterangan 70 individu.
“Berdasarkan latar belakang dan identiti mereka yang disoal siasat, tiada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terbabit atau dikenal pasti membantu dalam siasatan itu,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen semalam.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang meminta penjelasan mengenai skop dan perkembangan terkini siasatan polis berhubung dakwaan mafia korporat susulan arahan Kabinet supaya siasatan menyeluruh dijalankan.

Menurut Saifuddin, operasi yang dinamakan ‘Op Viking’ itu masih berjalan bagi membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Dewan Rakyat bahawa satu pasukan petugas khas diketuai Peguam Negara ditubuhkan bagi menyelaraskan siasatan melibatkan agensi penguatkuasaan berkaitan.

Anwar turut mendedahkan bahawa pasukan siasatan jenayah pengubahan wang haram Bukit Aman membekukan wang berjumlah RM4.3 bilion dan merampas RM1 bilion menerusi siri siasatan berhubung dakwaan aktiviti mafia korporat dari penghujung 2022 hingga September tahun ini.

Pasukan berkenaan turut melucuthak aset bernilai RM48.3 juta serta mengenakan kompaun berjumlah RM1.1 bilion sepanjang tempoh siasatan.

Sumber: Berita Harian (Amalia Azmi dan Mohamad Al As)

Scroll to Top