Polis tidak menemukan bukti yang mengaitkan unsur buli dengan kejadian seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun menyerang guru menggunakan kapak di sebuah sekolah swasta di Kuching pada 21 Oktober lalu.

Memetik laporan Berita Harian, Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Saifullizan Ishak berkata, kertas siasatan kes berkenaan telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya Sarawak pada 26 Oktober untuk penelitian.
Menurutnya, tindakan seterusnya bergantung kepada penilaian pihak pendakwaan serta laporan psikiatri forensik suspek yang masih belum diperoleh.
“Laporan psikiatri forensik penting bagi membantu menentukan keadaan mental suspek ketika kejadian, termasuk sama ada tindakannya dilakukan dalam keadaan sedar atau di luar kawalan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 pagi itu, suspek dipercayai membawa mercun sebelum mencederakan guru wanita berusia 42 tahun menggunakan kapak.
Mangsa mengalami luka pada tangan kiri tanpa kecederaan pada otot atau tulang. Beliau mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Kuching sebelum dibenarkan keluar.
Saifullizan berkata, pelajar terbabit ditahan pada hari kejadian dan kini masih menerima rawatan di hospital serta menjalani penilaian pakar psikiatri dan perubatan.
Bagi membantu siasatan, polis telah merakam keterangan 38 saksi membabitkan pelajar, guru, pengawal keselamatan, pakar perubatan serta ibu bapa suspek.
“Antara barang kes yang dirampas ialah kapak, pisau, mercun serta komputer dan gajet dari rumah suspek.
“Semua barang berkenaan dihantar untuk analisis forensik dan siasatan awal mendapati kapak itu dibeli suspek secara dalam talian, manakala analisis telefon bimbit dan komputer masih dijalankan bagi mendapatkan maklumat berkaitan kejadian,” ujarnya.

Berhubung dakwaan serangan itu mempunyai kaitan dengan permainan dalam talian atau kandungan tertentu, beliau menjelaskan perkara tersebut masih disiasat.
Katanya, polis tidak akan membuat sebarang kesimpulan selagi tiada bukti sahih yang menyokong dakwaan berkenaan.
Keputusan mengenai pendakwaan atau tindakan lain terhadap suspek akan ditentukan selepas pihak pendakwaan meneliti hasil siasatan dan laporan pakar.
Sebarang urusan penjagaan suspek, termasuk kemungkinan diserahkan kepada keluarga atau pihak berkaitan, turut tertakluk kepada laporan serta cadangan profesional.
Saifullizan turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat belum disahkan atau membuat spekulasi memandangkan kes berkenaan melibatkan individu bawah umur.
Sumber: Berita Harian (Mohd Roji Kawi)




