PETALING JAYA: Rakyat Malaysia kini boleh menggunakan aplikasi perbankan mudah alih tempatan untuk membuat pembayaran menggunakan DuitNow QR di lima destinasi luar negara menerusi kerjasama Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) dengan Alipay+.
Kemudahan itu membolehkan pengguna membuat pembayaran di premis peniaga yang menyertai rangkaian Alipay+ di China, Hong Kong, Korea Selatan, Filipina dan Laos tanpa perlu memuat turun aplikasi baharu atau membuka akaun Alipay+.
PayNet berkata, tiga bank terawal yang menawarkan kemudahan itu ialah Maybank, CIMB dan Hong Leong Bank, manakala Bank Islam dijangka menyusul tidak lama lagi.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Pengguna hanya perlu membuka fungsi pembayaran DuitNow QR dalam aplikasi perbankan masing-masing dan mengimbas kod QR peniaga yang memaparkan logo Alipay+, sebelum menyemak serta mengesahkan transaksi melalui aplikasi sama,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PayNet, Praveen Rajan berkata, kemudahan itu merupakan sebahagian daripada usaha jangka panjang syarikat berkenaan untuk memperluas rangkaian pembayaran negara ke peringkat antarabangsa melalui sistem yang selamat dan saling boleh kendali.
Katanya, ketersambungan pembayaran rentas sempadan bukan sahaja memudahkan rakyat Malaysia berbelanja ketika berada di luar negara, malah berpotensi memperkukuh hubungan ekonomi Malaysia dengan negara serantau.
“Pembayaran rentas sempadan sepatutnya terasa seperti membuat pembayaran di Malaysia. Ketersambungan ini memudahkan rakyat Malaysia membuat pembayaran ketika berada di luar negara.
“Dalam konteks yang lebih luas, ketersambungan pembayaran yang lebih kukuh dapat melancarkan perbelanjaan rentas sempadan dan mempererat hubungan ekonomi Malaysia dengan rantau ini,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif itu turut menyokong visi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mewujudkan sistem pembayaran rentas sempadan yang lebih pantas, cekap dan inklusif.
Pelancaran itu meneruskan kerjasama PayNet dengan Ant International menerusi Alipay+ yang bermula pada November 2023, apabila pelancong yang menggunakan dompet digital rakan kongsi Alipay+ yang menyokong kemudahan berkenaan boleh membuat pembayaran di premis peniaga DuitNow QR di Malaysia.
Kerjasama itu memberi peluang kepada perniagaan tempatan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), untuk meraih manfaat daripada perbelanjaan pelancong antarabangsa.
Pada masa sama, kemudahan pembayaran di luar negara itu akan diperluas secara berperingkat ke lebih banyak destinasi, selain membuka peluang kepada lebih banyak bank dan penyedia e-dompet yang menyertai rangkaian PayNet untuk menawarkan perkhidmatan berkenaan kepada pelanggan masing-masing.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Pusat Pertumbuhan Global Alipay+, Ant International, Danny Chung, berkata kerjasama yang semakin berkembang itu mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk memperluas capaian infrastruktur pembayaran kebangsaan Malaysia ke dalam ekonomi digital global.
Katanya, ketersambungan dua hala yang saling boleh kendali mampu memudahkan perjalanan dan perdagangan rentas sempadan, selain membuka lebih banyak peluang kepada perniagaan serta pengguna.
“Ekosistem Alipay+ kini menghubungkan lebih dua bilion akaun pengguna melalui lebih 50 rakan pembayaran antarabangsa, dengan rangkaian lebih 150 juta peniaga di lebih 210 pasaran.
“Ekosistem itu turut merangkumi lebih 10 skim pembayaran kebangsaan, termasuk PayNet,” katanya.-UTUSAN




