Kuala Lumpur : Ketika ada segelintir artis senior didakwa gemar merendah-rendahkan bakat baharu, pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi memilih pendekatan berbeza apabila meletakkan dirinya sebagai guru yang sedia membimbing pelapis industri hiburan.
Aznil, 64, atau mesra disapa Pak Nil, berkata beliau tidak berminat membanding-bandingkan kehebatan artis mengikut zaman, sebaliknya mahu berkongsi ilmu dan pengalaman bagi membantu generasi baharu memperbaiki kelemahan serta mengembangkan potensi diri.
Beliau berkata, usaha membimbing pengacara muda turut dilakukan secara peribadi apabila menghubungi mereka untuk menawarkan tunjuk ajar, terutama jika menyedari ada kekurangan dalam persembahan mereka.
“Saya bukan jenis veteran yang kutuk artis baharu kononnya zaman dulu lebih hebat. Saya melihat diri saya sebagai guru.
“Kadang-kadang saya hantar mesej terus kepada artis baharu itu dan tanya sama ada hendak belajar atau tidak kerana ada kekurangan dalam pengacaraan sebelum ini.
“Sweet Qismina juga pernah mesej saya ketika dia tersilap sebut dalam program Bintang Kecil RTM. Dia terbuka hendak belajar,” katanya ditemui pada sidang media program SHOW ADA KELAS — The Signature Communication Experience anjuran Icon Entertainment, di sini, baru-baru ini.
Mengulas cabaran dihadapi pengacara generasi baharu, Aznil berkata, mereka berdepan tekanan berbeza berbanding pengacara pada zamannya, terutama apabila kesilapan mudah menjadi perhatian dan menerima kritikan menerusi media sosial.
Katanya, pengacara muda memerlukan ruang untuk belajar dan memperbaiki kelemahan, bukannya terus dihukum sehingga mematahkan semangat mereka untuk berkembang dalam bidang berkenaan.
“Zaman saya dulu cabaran lain. Budak-budak sekarang kalau kena kritik, perlu betulkan dalam tempoh semalaman.
“Kasihan mereka baru hendak belajar tetapi semangat sudah kena patahkan. Nanti yang tinggal pengacara tua sahaja. Jadi, mana hendak datang pengacara baharu?” katanya.
Selain menawarkan bimbingan secara peribadi, Aznil turut menggalakkan pengacara muda supaya berani mencipta peluang sendiri, termasuk menerbitkan program berdasarkan kreativiti dan identiti masing-masing.
Katanya, pendekatan itu turut ditekankan ketika menjadi juri program pencarian bakat pengacara, Malaysian Host Wanted, baru-baru ini.
“Semasa saya buat Malaysian Host Wanted, saya mahu hos menerbitkan program sendiri seperti yang saya lakukan menerusi Macam-Macam Aznil dan Tom Tom Bak.
“Bila saya jadi juri, formula hendak menang senang sahaja, buat perkara yang saya tidak pernah nampak.
“Saya sangat menghargai bakat baharu termasuk yang membuat siaran langsung di TikTok. Kadang-kadang saya masuk dan beri ‘gift’ untuk memberikan semangat,” katanya.
Pada masa sama, Aznil berkata, beliau terbuka untuk mengajar asas pengacaraan kepada sesiapa sahaja yang berminat, namun menegaskan setiap individu perlu membina gaya dan identiti tersendiri selepas menguasai kemahiran asas.
Baginya, ilmu yang dikongsi bukan sekadar membantu melahirkan pengacara berkualiti, malah menjadi bekalan yang diharapkan dapat memberi manfaat berpanjangan.
“Saya terbuka untuk ajar ilmu asas. Ilmu asas kena kukuh, selepas itu terpulang kepada mereka untuk membawa cara sendiri.
“Selagi saya masih hidup, umur saya sudah 64 tahun, jadi inilah saham akhirat saya nanti,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Aznil bakal berkongsi ilmu dan pengalaman bagi membantu orang ramai menguasai kemahiran komunikasi menerusi program pembangunan profesional, SHOW ADA KELAS — The Signature Communication Experience, pada 28 November ini.
Program itu dijadual berlangsung di Plenary Theatre, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), dengan mengetengahkan pendekatan pembelajaran interaktif yang menggabungkan perkongsian ilmu, latihan praktikal dan hiburan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




