nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Perikatan Nasional (PN) yakin calon yang bakal diumumkan malam ini bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mampu meraih sokongan pengundi.
Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, calon yang akan diketengahkan terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk anak tempatan dan tokoh profesional yang aktif dalam kegiatan kemasyarakatan.
“Calon yang akan ditampilkan PN adalah calon tempatan dan tokoh profesional selain terbabit dengan banyak aktiviti bersama masyarakat.
“Calon yang dikemukakan itu juga dikenali ramai. Insya-Allah, calon kita akan mendapat sokongan pengundi di Melaka,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas parti yang bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) paling banyak, Tuan Ibrahim berkata perkara itu hanya dapat dipastikan selepas pengumuman rasmi dibuat.
“Kita tunggu pengumuman malam ini berhubung bilangan parti dan kerusi,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan rundingan pembahagian kerusi dengan PAS bagi PRN Melaka sudah dimuktamadkan.
Menerusi rundingan itu, BN mengesahkan akan bertanding di 21 kerusi DUN, manakala PAS dan rakan-rakannya akan bertanding di tujuh kerusi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




