‘Nelayan nak ADUN yang tarik pukat, bukan tarik like di FB’ – Individu ini sindir Mukhlis Mubin

‘Nelayan nak ADUN yang tarik pukat, bukan tarik like di FB’ – Individu ini sindir Mukhlis Mubin

Seorang individu, Zul Dumac mempersoalkan tindakan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Mohammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah yang mendakwa isu berkaitan Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat berjaya diselesaikan dalam tempoh dua hari.

Menerusi satu hantaran di media sosial, dia menegaskan tindakan Mukhlis membawa surat kepada Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Kamil Munim sebelum mendapat tandatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bermaksud isu itu sudah selesai sepenuhnya.

“Ini bukan selesai bro, ini content.
“Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat hutang cukai RM400,000. Dah tujuh tahun. Penalti RM70,000. Persatuan itu sendiri dah bayar RM380,000, tinggal baki RM10,000. Yang jadi beban sekarang penalti RM70,000 itu,” katanya.

Menurut Zul, tindakan Mukhlisul membawa isu tersebut kepada pihak Kementerian Kewangan (MOF) perlu dinilai berdasarkan hasil penyelesaian sebenar, khususnya sama ada penalti tersebut telah dimansuhkan atau tidak.

Dia turut mempersoalkan dakwaan bahawa masalah yang berlarutan selama tujuh tahun itu berjaya diselesaikan dalam masa dua hari, sedangkan hantaran calon muda berkenaan hanya menunjukkan surat yang ditandatangani untuk tindakan susulan.

“Padahal apa yang selesai? Surat saja yang ditandatangani. Penalti RM70,000 itu dah hapus ke belum? LHDN dah tarik balik ke belum? Persatuan itu dah dapat surat pelepasan hitam putih ke?
“Tak ada. Cuma gambar pegang kertas,” ujarnya.

Dalam hantaran sama, Zul turut membangkitkan persoalan mengenai tempoh tujuh tahun yang disebut, termasuk tempoh pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan ketika Anwar memegang jawatan Menteri Kewangan.

Dia mempersoalkan mengapa isu itu hanya dibawa untuk mendapatkan perhatian pada ketika Mukhlis bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Zaman tujuh tahun tak selesai itu zaman siapa? Tujuh tahun itu termasuk 22 bulan bos dia memerintah, dan tiga tahun bos dia jadi Menteri Kewangan sekarang.
“Kenapa tujuh tahun tak selesai? Kenapa bila dah jadi calon baru nak selesai?,” soalnya.

Zul turut mengingatkan bahawa bayaran cukai yang telah dibuat oleh persatuan berkenaan datang daripada usaha komuniti nelayan sendiri dan bukannya sumbangan calon terbabit.

“Persatuan itu dah bayar RM380,000 dengan titik peluh nelayan Kuala Linggi sendiri, bukan duit kau. Kau cuma tumpang ambil gambar,” dakwa pengguna media sosial itu.

Dia turut mempersoalkan peranan MOF dalam isu tersebut memandangkan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjadi antara perkara yang dibangkitkan dalam hantaran tersebut.

Mengulas lanjut, Zul menyindir pendekatan calon itu yang menggunakan slogan “This is how Gen Z works” selepas membawa isu berkenaan kepada perhatian Perdana Menteri.

“Nelayan Kuala Linggi bukan bodoh. Nelayan itu tujuh tahun hadap LHDN, bukan dua hari. Kalau betul Gen Z cara kerja dua hari selesai, kenapa tunggu sampai PRN baru nak selesai?
“Nelayan Kuala Linggi nak ADUN yang tarik pukat, bukan yang tarik like di Facebook,” katanya.

Untuk rekod, Mukhlis yang berusia 25 tahun merupakan calon dari Parti Amanah Negara (AMANAH) mewakili PH bagi DUN Kuala Linggi pada PRN Melaka yang dijadualkan berlangsung pada 14 November depan.

Sumber: Facebook Zul Dumac

Scroll to Top