Ronaldo pemenang Ballon d'Or Terbaik Sepanjang Zaman

Ronaldo pemenang Ballon d'Or Terbaik Sepanjang Zaman

Paris: Cristiano Ronaldo dinobatkan sebagai pemenang Ballon d’Or Terbaik Sepanjang Zaman, mengatasi seteru tradisinya, Lionel Messi.

Pada 1 Oktober lalu, peminat bola sepak diminta memilih seorang daripada 10 pemenang Ballon d’Or untuk dinobatkan sebagai B.O.A.T (Ballon d’Or of All Time), bagi mengiktiraf musim terbaik pemain yang pernah memenangi anugerah itu sekurang-kurangnya dua kali.

Kini, Ronaldo yang tersenarai dalam kalangan 10 legenda dicalonkan bagi anugerah berkenaan, disahkan memenangi undian itu menerusi kejayaan meraih Ballon d’Or pertamanya pada 2008.

Ketika senarai calon B.O.A.T. diumumkan, tidak mengejutkan apabila ramai menjangkakan persaingan sengit antara Ronaldo dan Messi bagi merebut pengiktirafan itu.

Selain dua bintang berkenaan, legenda seperti Johan Cruyff, Ronaldo Nazario, Kevin Keegan dan Michel Platini turut dicalonkan.

Bagaimanapun, kejayaan Ronaldo membantu Manchester United menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara Eropah pada 2008, selain meledak 42 gol dalam semua pertandingan termasuk 31 gol dalam saingan liga, membolehkannya memenangi anugerah B.O.A.T.

Pada musim itu, Ronaldo turut mengatasi Fernando Torres untuk memenangi Kasut Emas dengan kelebihan tujuh gol. Antara jaringan yang mencuri tumpuan ialah hatriknya ketika United membelasah Newcastle United 6-0.

Ballon d’Or 2008 itu menjadi trofi pertama daripada lima yang dimenangi Ronaldo sepanjang karier gemilangnya, sekali gus meletakkannya di tangga kedua senarai pemenang terbanyak sepanjang zaman, di belakang Messi.

Malah, kesemua lima musim kemenangan Ballon d’Or Ronaldo berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik ranking B.O.A.T, dengan kemenangan Messi pada 2012 menduduki tempat kedua undian.

Selain menduduki tangga teratas, kempen Ronaldo ketika memenangi Ballon d’Or pada 2017, 2016, 2014 dan 2013 masing-masing berada di kedudukan ketiga, kelima, keenam dan kelapan.

Tidak mengejutkan, Messi mengisi lima kedudukan lain dalam kelompok 10 terbaik, manakala lapan lagi legenda yang dicalonkan gagal menyaingi dua seteru bersejarah itu dalam undian peminat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top