Guna kereta berpelekat 'Bomba Rescue', lelaki ada rekod psikiatri direman

Guna kereta berpelekat 'Bomba Rescue', lelaki ada rekod psikiatri direman

am@hmetro.com.my

Sungai Petani: Seorang lelaki yang memandu kereta persendirian dengan pelekat “Bomba Rescue” serta memasang lampu mata arah (strobe light) secara haram direman sehari bagi membantu siasatan kes menyamar sebagai penjawat awam.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Noor Farah Hazwani Osman di hospital pagi ini selepas suspek berusia 35 tahun itu tidak dapat dibawa ke mahkamah susulan hilang kawalan emosi ketika dalam tahanan polis malam tadi, selain perlu menjalani rawatan psikiatri.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata suspek mempunyai rekod rawatan psikiatri sejak 2017 dan dipercayai mengalami semula masalah kesihatan mental berikutan tidak mendapatkan rawatan susulan dalam tempoh yang lama.

Beliau berkata, tangkapan terhadap suspek dibuat kira-kira jam 9.45 pagi semalam di kawasan Bandar Puteri Jaya susulan laporan yang dibuat oleh seorang anggota bomba.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Polis turut menyita kereta yang digunakan suspek untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, tular rakaman video di media sosial memaparkan sebuah kereta berwarna merah berpelekat “Bomba Rescue” dan berlampu mata arah dipandu secara melulu, mencetuskan kemarahan pengguna jalan raya.

Menerusi video terbabit, suspek dilihat tidak berpuas hati apabila tidak diberikan laluan sebelum bertindak keluar dari kenderaan dan memarahi pemandu lain.

Dalam satu rakaman berasingan, lelaki itu turut dilihat memegang sebatang rotan dan memukul keretanya sendiri sebelum ditahan pihak polis.

Susulan kejadian itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mengesahkan kenderaan berkenaan bukan milik jabatan terbabit mahupun mana-mana Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di negeri ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top