mukhriz.husin@bh.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 8,540 kandungan berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) diturunkan sejak 2022 hingga tahun ini menerusi kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan pengendali platform media sosial.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata tindakan itu selaras dengan pendekatan ‘Whole-of-Government’ kerajaan yang mengutamakan kerjasama rentas kementerian dan agensi bagi mengesan serta menangani isu yang berpotensi menjejaskan keharmonian kaum.
Katanya, kementerian turut memperkukuh penggunaan teknologi digital menerusi Pusat Rujukan Isu Sensitif Masyarakat (PRISMA) bagi mempercepat penilaian dan pemantauan isu sensitif dalam masyarakat.
“Pusat ini memanfaatkan teknologi digital melalui integrasi dengan Rangkaian Aduan Komuniti Awam Nasional (RAKAN), papan pemuka analitik perpaduan dan platform eSepakat bagi membantu menyaring serta mengenal pasti kenyataan berbaur perkauman, ucapan kebencian dan isu perkauman di kawasan kejiranan.
“Keupayaan ini membolehkan pengesanan dan penilaian isu dilaksanakan dengan lebih pantas, termasuk melalui pemantauan secara langsung,” katanya pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) mengenai langkah Kementerian Perpaduan Negara menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan lebih awal isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum serta menyebarkan mesej perpaduan menerusi platform digital, khususnya kepada generasi muda.
Dalam perkembangan berkaitan, Aaron berkata kerajaan turut mengutamakan pendekatan mediasi bagi menyelesaikan pertikaian dalam komuniti secara aman.
Katanya, sebanyak 5,028 kes mediasi berjaya dikendalikan mediator komuniti sepanjang 2023 hingga 2026, membabitkan pelbagai isu, terutama berkaitan kejiranan.
“Kementerian mempunyai seramai 671 mediator, terdiri daripada 221 pegawai jabatan, 388 ahli Rukun Tetangga dan lapan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agama.
“Setakat ini, kita sudah menubuhkan 11 pusat mediasi di seluruh negara, manakala 13 lagi dalamperancangan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




