am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) melaksanakan program kembiri membabitkan 483 kucing dan anjing dalam usaha pengurusan haiwan liar di dalam kawasan pentadbiran bandar raya ini.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad berkata, program berkenaan dilaksanakan Sabtu lalu hingga semalam, dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), klinik veterinar dan sukarelawan.
Beliau berkata, MBJB bersama-sama NGO Wira Kasih JB dan klinik veterinar mengadakan program kembiri kucing membabitkan 283 kucing, dengan sokongan 35 sukarelawan dan 31 petugas klinik veterinar.
Katanya, MBJB turut melaksanakan program kembiri anjing terbiar dengan kerjasama Iskandar Malaysia Social Hero (IMSHA).
“Menerusi program berkenaan, 200 anjing terbiar dijangka menjalani prosedur kembiri sebelum diserahkan kepada NGO swasta yang terbabit untuk tujuan penjagaan dan pemeliharaan di kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Mesyuarat Penuh MBJB di Dewan Inai Merah, Menara MBJB di sini, hari ini.
Mohd Haffiz berkata, program kembiri dan vaksinasi terbabit bertujuan membantu mengawal pertambahan populasi kucing dan anjing liar di kawasan MBJB, di samping membuka peluang kepada orang awam untuk mendapatkan perkhidmatan kembiri pada harga berpatutan.
Katanya, inisiatif ini meneruskan usaha yang dilaksanakan menerusi lima program terdahulu sepanjang 2024 dan 2025 yang menyaksikan 932 anjing terbiar dikembiri dan diserahkan kepada NGO.
“Sebagaimana yang kita sedia maklum, beberapa kejadian serangan anjing liar berlaku di Johor. Oleh itu, pendekatan lebih menyeluruh adalah penting,” katanya.
Beliau berkata, usaha berkenaan mencerminkan pendekatan MBJB yang tidak hanya bergantung kepada tindakan menerusi aktiviti penguatkuasaan, sebaliknya diperluas menerusi kerjasama dengan pihak berkepentingan.
“Saya ingin menegaskan bahawa pengurusan haiwan terbiar memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak.
“MBJB akan terus mempergiat program kembiri kucing dan anjing terbiar serta memperkukuh kerjasama dengan NGO, pihak veterinar dan masyarakat bagi mengawal populasi haiwan secara lebih sistematik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




