PETALING JAYA: Ketiadaan penyerang naturalisasi, Bergson da Silva tidak menjadi masalah besar buat Harimau Malaya menjelang aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang China dan Yaman bulan depan.
Bekas pemain kebangsaan, Mahali Jasuli mengakui Malaysia masih mempunyai pilihan lain yang mampu mengisi kekosongan ditinggalkan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu jika kecederaan yang dialaminya menghalang pemain berkenaan daripada menyertai skuad kebangsaan.
Menurut Mahali, kehadiran pemain seperti Fergus Tierney yang konsisten beraksi di luar negara mampu memberikan pilihan tambahan kepada barisan kejurulatihan untuk memperkukuh jentera serangan negara.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Sudah lama saya nak lihat pasukan negara ada penyerang yang prolifik namun kita lihat dia (Bergson) ada sedikit kecederaan. Tetapi saya percaya ada lagi pemain-pemain lain yang boleh menggantikan posisi beliau.
“Seperti kita tahu, Fergus Tierney pun konsisten beraksi di liga luar negara dan saya percaya dengan pemain-pemain lain yang ada, dengan ketiadaan Bergson mungkin bukanlah satu isu besar,” katanya ketika ditemui media di KLCC, kelmarin.
Bergson dipercayai mengalami kecederaan ketika JDT menentang Port FC dalam saingan Liga Juara-Juara Elit Asia (ACLE), Selasa lalu, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai peluangnya menyertai tugasan antarabangsa bulan depan.
Bagaimanapun, Mahali berpandangan tumpuan utama Harimau Malaya seharusnya terarah kepada persiapan jangka panjang, khususnya menghadapi cabaran dalam kempen kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia.
“Lagipun untuk perlawanan akan datang hanyalah perlawanan persahabatan dan yang paling penting untuk pasukan negara selepas ini di kelayakan Piala Asia dan juga Piala Dunia,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Mahali turut berpandangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu membuat perancangan awal mengenai pelantikan ketua jurulatih tetap bagi memastikan Harimau Malaya mempunyai hala tuju yang jelas.
Katanya, sekiranya jurulatih asing mampu membawa pendekatan serta idea baharu untuk meningkatkan prestasi pasukan, pilihan itu wajar dipertimbangkan demi kemajuan bola sepak negara.
“Kalau betul kita nak lihat pasukan kebangsaan maju atau pun dapat keputusan yang lebih baik, mereka kena mula daripada sekarang, bukannya nak mula kelayakan baharu kita nak lantik jurulatih, saya rasa ini masa yang sesuai.
“Jika ada jurulatih luar yang boleh beri sumbangan yang lebih dan juga memberi idea-idea baharu, saya percaya ni satu orang kata langkah positif untuk pasukan kebangsaan,” jelasnya. – UTUSAN




