3 ditahan termasuk seorang wanita bersabit penyeludupan dadah di Batu Pahat

3 ditahan termasuk seorang wanita bersabit penyeludupan dadah di Batu Pahat

Dalam operasi kira-kira jam 8.35 malam itu, anggota Cawangan Risik Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA) Muar turut merampas dadah jenis syabu bernilai RM167,180 bersama dua buah kenderaan, dengan nilai jumlah keseluruhan rampasan berjumlah RM434,400.

Pegawai Pemerintah Batalion 6 PGA, Superintendan Shohaiami Ismail berkata, serbuan dilakukan di kawasan tempat letak kenderaan berhampiran Parkson Square One, Batu Pahat serta sebuah lokasi di Kampung Sarang Buaya Laut, Muar.

“Hasil pemeriksaan di kedua-dua lokasi membawa kepada penahanan dua lelaki dan seorang wanita tempatan.

“Polis turut merampas lima bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis Methamphetamine (syabu) bernilai RM167,180 dengan anggaran berat keseluruhan 5,224.40 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, turut disita dalam operasi berkenaan ialah dua buah kenderaan iaitu Toyota Vios dan Honda Civic FD bernilai RM267,220 yang dipercayai digunakan suspek untuk menjalankan kegiatan haram itu.

Katanya, kesemua suspek berserta barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 serta peruntukan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

“PGA akan terus memperketatkan kawalan dan risikan bagi membanteras kegiatan pengedaran serta penyeludupan dadah yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top