am@hmetro.com.my
Melaka: Perikatan Nasional (PN) mengumumkan lima daripada enam calon bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan penampilan tokoh profesional dan berpengalaman.
Daripada jumlah yang diumumkan, masing-masing dua kerusi diperuntukkan untuk PAS dan Parti Wawasan Negara (WAWASAN) dan satu untuk GERAKAN
Sementara itu, calon untuk kerusi Kota Laksamana akan diumumkan dalam tempoh terdekat.
PAS menampilkan seorang penjawat awam iaitu Ketua Unit Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan Melaka yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Hang Tuah Jaya, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif bagi kerusi Bukit Katil, diikuti Timbalan Yang di-Pertua PAS Kawasan Tangga Batu, Rafie Ahmad di DUN Paya Rumput.
WAWASAN pula akan diwakili bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub di kerusi yang disandangnya itu dan Timbalan Ketua WAWASAN Kota Melaka, Albert Kok di DUN Kesidang.
Sementara calon dari GERAKAN pula menampilkan Pengerusi GERAKAN Melaka, Michael Gan.
Pengumuman disempurnakan Pengerusi PN yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Bukit Katil, malam ini.
Pada sidang medianya, Ahmad Samsuri berkata, PN sedang melakukan beberapa pertimbangan sebelum mengumumkan calon di kerusi DUN Kota Laksamana .
Katanya, masa yang berbaki sehari itu akan dimanfaatkan untuk berbincang sebelum mengesahkan calon yang mewakili gabungan berkenaan di DUN terbabit.
“Kita ada satu lagi kerusi yang belum diumumkan kerana ada beberapa pertimbangan mengenai calon ini yang perlu dibuat sebelum keputusan akhir dimuktamadkan.
“Ada beberapa perkara berbangkit yang perlu kita selesaikan. Sebab itu, (calon) kerusi berkenaan belum diumumkan malam ini.
“Kita ada calon (yang sesuai), kita tidak ketandusan calon,” katanya yang juga Naib Presiden PAS.
Difahamkan, kerusi berkenaan diperuntukkan untuk Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), namun menarik diri saat akhir daripada menyertai PRN atas sebab tertentu.
Sumber berkata, bagaimanapun kerusi itu dijangka ditawarkan kepada wakil dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).
© New Straits Times Press (M) Bhd




