Belanjawan 2027 perkukuh sokongan kepada peminjam PTPTN

Belanjawan 2027 perkukuh sokongan kepada peminjam PTPTN

suliati@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengumuman Belanjawan 2027 disambut baik kerana dilihat mampu memberi kelegaan serta ruang kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), khususnya golongan muda untuk mengurus komitmen kewangan dengan terancang dan teratur.

Inisiatif itu merangkumi penangguhan bayaran balik bagi peminjam berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan, bayaran balik minimum RM50 sebulan bagi mereka yang berpendapatan antara RM2,501 hingga RM3,000, diskaun 10 peratus kepada peminjam yang membuat bayaran balik secara teratur tanpa tunggakan, selain potongan cukai kepada majikan yang membayar balik pinjaman PTPTN bagi pihak pekerja untuk bayaran yang dibuat mulai 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2028.

Langkah itu bukan sahaja memberi kelegaan kepada kelompok berpendapatan rendah, malah menjadi pemangkin kepada amalan pengurusan wang yang lebih berdisiplin dalam mendepani kos sara hidup yang semakin mencabar.

Pengurus bank, Anis Alawiyah Ishak, 40, berkata inisiatif itu adalah langkah terbaik bagi membantu graduan baharu mengurus aliran tunai ketika baru melangkah ke alam pekerjaan.

Menurutnya yang sudah melunaskan pinjaman PTPTN lebih 10 tahun lalu, bayaran balik minimum RM50 sebulan pula membolehkan peminjam menarik nafas lega.

“Bagi yang baru graduasi, inisiatif ini dapat membantu mereka memulakan kehidupan dalam dunia pekerjaan yang mencabar.

“Bagi saya, kadar RM50 itu tidaklah membebankan dan wajar dimanfaatkan. Namun, jangan ambil mudah. Peminjam perlu berfikir untuk jangka panjang.

“Kalau mampu, bayarlah lebih daripada kadar minimum itu supaya pinjaman dapat diselesaikan lebih cepat,” katanya.

Sementara itu, Guru, Nur An Nisaa Iryanie Mohd Nor Azhar, 26, menyifatkan bayaran balik pinjaman yang dilakukan sebagai tanggungjawab dan tanda penghargaan atas bantuan PTPTN dalam membiayai pengajiannya di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

Nur An Nisaa yang membuat bayaran secara konsisten sejak 2024 berkata, diskaun 10 peratus bagi bayaran balik secara teratur tanpa tunggakan adalah insentif yang baik untuk menggalakkan budaya pembayaran balik secara berdisiplin.

“Saya percaya usaha ini memberi manfaat dan menjadi pendorong kepada peminjam untuk melunaskan hutang pendidikan mereka mengikut kemampuan masing-masing.

“Penangguhan bayaran balik kepada peminjam yang berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan dapat mengurangkan beban kewangan mereka dan membantu golongan ini menstabilkan dahulu kewangan.

“Manakala bayaran balik minimum RM50 bagi mereka yang berpendapatan RM2,501 hingga RM3,000 pula membolehkan peminjam meneruskan tanggungjawab pembayaran mengikut kemampuan,” katanya.

Pada masa sama, potongan cukai kepada majikan yang membantu membayar pinjaman pekerja berpotensi menggalakkan lebih banyak syarikat memainkan peranan dalam menjaga kebajikan pekerja mereka.

Bagaimanapun, Nur An Nisaa Iryanie mengingatkan peminjam supaya kelonggaran yang diberikan itu tidak disalahgunakan dengan melengah-lengahkan pembayaran sehingga mengurangkan dana pusingan untuk membantu pelajar lain pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Nur Syafiqah Mohamad Jafri, 27, berkata inisiatif bajet 2027 yang diumumkan itu amat bermakna baginya yang sudah menangguhkan bayaran balik PTPTN lebih setahun kerana menyambung pengajian dan kini bekerja sambilan tanpa pendapatan tetap.

“Bagi saya, bayaran RM50 bagi gaji RM2,501 hingga RM3,000 sangat membantu.

“Ini kerana jumlah bayaran itu meringankan beban saya yang tidak mempunyai gaji tetap secara bulanan,” katanya yang juga akan mempertimbangkan untuk menyambung kembali pembayaran PTPTN dalam masa terdekat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top