Utusan Malaysia rangkul laporan berita sosial, jurufoto terbaik media Terengganu

Utusan Malaysia rangkul laporan berita sosial, jurufoto terbaik media Terengganu

KUALA TERENGGANU: Akhbar Utusan Malaysia mengungguli Majlis Apresiasi Media Terengganu 2026 apabila merangkul dua hadiah utama bagi kategori media cetak dalam majlis yang berlangsung di sini, malam tadi.

Kejayaan itu menyaksikan jurufotonya, Puqtra Hairry Rosli merangkul tempat pertama bagi kategori Foto Terbaik Media Cetak (Ekonomi) manakala pemberita sambilan Utusan Malaysia, Erma Yusnida Jusoh memenangi tempat pertama bagi kategori Berita Terbaik Media Cetak (Sosial).

Puqtra Hairry meraih kemenangan menerusi karya foto bertajuk Proses Pembuatan Arang yang disiarkan pada 21 September 2025.

Memuatkan artikel berkaitan…

Erma  Yusnida pula memenangi kategori berkenaan menerusi laporan Menenun dengan Jiwa, Hasilkan Songket Warisan yang mengangkat perjuangan penenun songket tradisional di Kuala Terengganu, disiarkan pada 16 Oktober 2025.

Kedua-dua pemenang tempat pertama itu masing-masing membawa pulang wang tunai RM500 berserta trofi dan sijil penghargaan.

Sementara itu, Wakil Negeri Kosmo! Terengganu, Mohd. Azli Adlan meraih tempat kedua bagi kategori Berita Terbaik Media Cetak (Ekonomi) menerusi laporan KMIKT Tawar Gabungan Rawatan Moden, Tradisional yang disiarkan pada 3 Oktober 2025.

Pemberita sambilan Kosmo!, Nursyasya Nadhirah Zabidi pula memperoleh tempat ketiga bagi kategori Berita Terbaik Media Cetak (Sosial) menerusi wawancara bertajuk Penyu Merajuk, Pantai Rantau Abang Kekal Sepi yang disiarkan dalam Kosmo! Ahad pada 5 Oktober 2025.

Mohd. Azli dan Nursyasya masing-masing menerima wang tunai RM300 dan RM200 selain trofi serta sijil penghargaan.

Penyampaian anugerah kepada semua pemenang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah mewakili Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dalam ucapannya, Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri mahu hubungan dengan organisasi media terus dibina berasaskan profesionalisme, keterbukaan dan sikap saling menghormati.

Beliau berkata, media mempunyai tanggungjawab untuk bertanya dan menilai, manakala kerajaan pula bertanggungjawab memberikan penjelasan serta maklumat yang boleh disemak oleh masyarakat.

“Jika ada kejayaan, laporkanlah dengan tepat. Jika ada kelemahan, tegurlah dengan adil. Saya berharap Majlis Apresiasi Media Terengganu terus menjadi ruang untuk menghargai karya yang bermutu, merapatkan hubungan profesional dan menyuburkan budaya penyampaian maklumat yang bertanggungjawab,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top