am@hmetro.com.my
Melaka: Sejumlah 45 bakal calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 sudah menjelaskan bayaran deposit setakat malam tadi, daripada 189 borang penamaan calon yang dibeli menjelang hari penamaan calon esok.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun berkata, semua bakal calon diingatkan supaya hadir lebih awal ke pusat penamaan calon bagi membolehkan dokumen masing-masing disemak sebelum proses penyerahan borang bermula.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan sebarang kekurangan atau kesilapan dokumen yang boleh menyebabkan hasrat seseorang untuk bertanding tidak kesampaian.
“Saya menyeru semua bakal calon supaya hadir awal bagi memberi ruang kepada pihak kami membuat semakan secara lebih terperinci.
“Kita tidak mahu timbul masalah yang menyebabkan seseorang itu tidak dapat bertanding,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau persiapan dan menyaksikan simulasi proses penamaan calon di pusat penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput di Ballroom Stadium Hang Jebat, Krubong, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah SPR Melaka Rudy Rohan Johan.
Mengulas mengenai persiapan SPR, Ramlan berkata, semua lokasi berkenaan sudah bersedia menerima bakal calon, manakala pegawai yang terbabit turut menjalani latihan sejak lebih setahun lalu bagi memastikan setiap prosedur dapat dilaksanakan mengikut ketetapan.
Katanya, walaupun terdapat pegawai pengurus pilihan raya (RO) yang pertama kali mengendalikan proses berkenaan, simulasi yang dilaksanakan menunjukkan mereka dapat memahami tanggungjawab masing-masing.
“Semua pegawai yang ditugaskan sudah diberikan latihan secukupnya dan kita yakin mereka mempunyai pengetahuan untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, Ramlan meminta penyokong parti politik yang hadir esok supaya mematuhi arahan pihak berkuasa dan menjaga ketenteraman bagi memastikan proses penamaan calon tidak terganggu.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mengambil maklum kemungkinan penutupan atau perubahan laluan jalan raya di sekitar pusat penamaan calon bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
“Maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga menunjukkan keadaan cuaca esok dijangka baik dan berharap proses penamaan calon di semua lokasi dapat berlangsung dengan aman dan teratur tanpa sebarang gangguan,” katanya.
Sebanyak 28 pusat penamaan calon akan dibuka serentak di seluruh Melaka esok bermula 9 hingga 10 pagi dengan dikendalikan 28 pegawai pengurus pilihan raya (RO) yang dibantu 80 penolong pegawai pengurus serta petugas lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd




