Washington : Pelakon veteran Britain, Patrick Stewart, yang bangkit daripada kehidupan serba kekurangan di England sebelum menempa nama sebagai pelakon teater Shakespeare, meninggal dunia pada usia 86 tahun.
Mendiang Stewart meraih populariti di peringkat antarabangsa menerusi watak Kapten Jean-Luc Picard yang berpengetahuan luas dalam siri televisyen Star Trek: The Next Generation, selain watak mutan telepati, Profesor Charles Xavier, dalam francais filem X-Men.
Mendiang Stewart yang dikurniakan gelaran Sir oleh Ratu Elizabeth II pada 2010 atas sumbangannya dalam bidang drama, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Los Angeles, menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi akaun X miliknya.
“Dengan penuh dukacita, kami mengumumkan pemergian Sir Patrick Stewart semalam di kediamannya di Los Angeles, dalam jagaan penuh kasih sayang isterinya, Sunny, selepas melalui perjuangan singkat dan penuh emosi melawan penyakit Alzheimer serta demensia badan Lewy,” menurut kenyataan itu, lapor agensi.
Mendiang Stewart mula menceburi bidang lakonan pada usia 18 tahun dan mendapat pengiktirafan menerusi persembahan pentas bersama Royal Shakespeare Company sejak 1960-an.
Bagaimanapun, namanya hanya benar-benar melonjak di persada arus perdana apabila dipilih membintangi Star Trek: The Next Generation pada usia 47 tahun. Siri televisyen (TV) yang disiarkan dari 1987 hingga 1994 itu adalah kesinambungan siri asal Star Trek yang diperkenalkan pada 1960-an.
Watak Picard yang dibawakan mendiang Stewart cukup sinonim dengan ungkapan ‘Make it so’ ketika mengarahkan orang bawahannya melaksanakan sesuatu arahan, selain frasa ‘Engage’ yang turut menjadi kata-kata ikoniknya.
Menariknya, mendiang Stewart pada awalnya pernah mempertimbangkan untuk menolak tawaran itu selepas sahabat lamanya yang juga pelakon Shakespeare, Ian McKellen, menasihatkannya supaya kekal dalam dunia teater dan tidak menerima tawaran Star Trek.
Namun, mendiang Stewart akhirnya menyahut cabaran itu dan menjadi antara watak paling digemari peminat, sekali gus tonggak penting francais fiksyen sains berkenaan.
Mendiang Stewart bukan sahaja menjayakan 176 episod sepanjang tujuh musim Star Trek: The Next Generation, malah kembali membawa watak Picard dalam beberapa filem Star Trek serta siri penstriman Star Trek: Picard yang mula disiarkan pada 2020 ketika usianya 79 tahun.
“Sepanjang tujuh musim TNG (The Next Generation), perbezaan antara Jean-Luc Picard dengan Patrick Stewart semakin kabur sehingga saya sendiri sukar menentukan di mana wataknya berakhir dan diri saya bermula. Begitu banyak kepercayaan dan perasaan saya dicurahkan menerusi siri itu,” katanya kepada akhbar The Guardian pada 2022.
Mendiang Stewart turut pada awalnya keberatan menerima tawaran membawakan watak Profesor X, mutan yang menggunakan kerusi roda dalam filem X-Men, berdasarkan watak komik popular Marvel.
“Saya cakap, saya tahu ini bukan fiksyen sains, tetapi ia fantasi dan saya pernah melakukan genre itu. Namun, mereka meyakinkan saya bahawa ia tidak akan seperti Star Trek, jadi saya bersetuju. Sekali lagi, ternyata tanggapan saya meleset,” katanya kepada The Guardian.
Mendiang Stewart kemudian menjadi antara tonggak utama satu lagi francais filem berprofil tinggi itu, bermula dengan filem pertama X-Men pada 2000 sebelum muncul dalam beberapa sekuel lain.
Beliau turut membintangi filem Marvel 2022, Doctor Strange in the Multiverse of Madness, selain berkongsi layar dengan McKellen yang membawakan watak antagonis Magneto dalam beberapa filem X-Men.
Mendiang Stewart turut terbabit dalam penggambaran filem Avengers: Doomsday yang dinanti-nantikan ramai dan bakal muncul dalam filem Marvel itu yang dijadual menemui penonton, Disember ini.
Marvel Studios turut memberikan penghormatan kepada mendiang Stewart menerusi kenyataan pada Khamis, menyifatkannya sebagai bakat luar biasa, rakan kerjasama yang pemurah dan seorang insan budiman.
Dilahirkan pada 13 Julai 1940 di Mirfield, Yorkshire, England. Beliau membesar dalam keluarga miskin dengan bapa yang menurutnya pulang daripada Perang Dunia Kedua dalam keadaan ketagihan alkohol, mengalami gangguan tekanan pascatrauma (PTSD) serta melakukan penderaan fizikal terhadap ibunya.
Mendiang Stewart pernah berkongsi pengalaman meletakkan tubuhnya di antara ibu dan bapanya sebagai usaha melindungi ibunya daripada tindakan ganas lelaki berkenaan.
Beliau menganggap lakonan sebagai ‘ruang selamat’ sejak kecil selepas seorang guru memperkenalkannya kepada karya Shakespeare, khususnya The Merchant of Venice, ketika berusia 12 tahun.
Mendiang Stewart mula mengalami keguguran rambut pada usia 17 tahun dan botak sepenuhnya ketika berusia 19 tahun. Walaupun pada awalnya berasa malu dengan keadaan itu, beliau akhirnya menerima penampilannya dengan terbuka.
Siri Star Trek ciptaan Gene Roddenberry mengetengahkan gambaran masa depan yang penuh harapan, apabila manusia meneroka alam semesta menggunakan kapal angkasa berkelajuan melebihi cahaya serta bertemu pelbagai bangsa asing.
Populariti berterusan siri asal itu dan kejayaan filem pecahannya mendorong Roddenberry menghasilkan siri susulan, The Next Generation.
Watak Picard berbeza daripada Kapten James T Kirk yang dibawakan William Shatner dalam siri asal, yang lebih bersifat berani dan kadangkala bertindak secara kurang serius.
Sebaliknya, Picard digambarkan sebagai pemimpin yang lebih berfikiran mendalam dan berdisiplin, meskipun ada kalanya dilihat terlalu serius, kurang humor atau mementingkan diri.
Mendiang Stewart mengakui dirinya juga terlalu serius ketika mula bekerja bersama barisan pelakon lain dalam siri berkenaan.
“Saya pernah menceritakan bagaimana saya memanggil satu mesyuarat bersama pelakon utama dan memberitahu mereka bahawa saya merasakan kami kurang berdisiplin.
“Saya berpendapat kami tidak sepatutnya terlalu banyak bergurau di set penggambaran, sebaliknya perlu mengambil segala-galanya dengan serius,” katanya kepada majalah The New Yorker pada 2023.
Mendiang Stewart berkata, seorang pelakon kemudian menegurnya supaya tidak terlalu serius dan mengingatkannya bahawa mereka juga perlu berseronok ketika bekerja.
“Saya mengetuk kerusi dan cakap, kita bukan di sini untuk berseronok.’
“Sehingga kini mereka tidak pernah biar saya lupakan kejadian itu. Mereka banyak mengajar saya untuk lebih santai dan bebas,” katanya.
Mendiang Stewart turut berpendapat mutu siri berkenaan semakin baik seiring perjalanan musimnya, malah mengakui kurang berpuas hati dengan lakonannya sebagai Picard dalam dua musim pertama.
“Saya merasakan watak itu kurang mempunyai keintiman. Dia sangat berwibawa, tetapi tidak banyak menampilkan sisi lain,” katanya sambil mengakui lakonannya bertambah baik dalam musim berikutnya.
Malah, antara persembahan terbaik keseluruhan barisan pelakon itu mungkin dapat dilihat menerusi episod akhir dua bahagian yang menggabungkan elemen perjalanan merentasi masa.
Mendiang Stewart secara rasmi bergelar Sir selepas menerima pengurniaan gelaran kesatria daripada Ratu Elizabeth II dalam satu istiadat di Istana Buckingham pada 2010.
Mendiang Stewart memberitahu wartawan bahawa tokoh yang menjadi inspirasinya ialah pelakon Britain, Laurence Olivier, John Gielgud dan Alec Guinness, yang turut menerima gelaran kesatria.
“Berada dalam kelompok mereka adalah perkara paling membanggakan yang pernah berlaku dalam kerjaya profesional saya,” katanya.
Mendiang Stewart pernah berkahwin sebanyak tiga kali dan dikurniakan dua cahaya mata. Perkahwinan ketiganya pada 2013 adalah bersama pemuzik dari Amerika Syarikat (AS), Sunny Ozell. – Agensi
© New Straits Times Press (M) Bhd




