101,901 anggota pelbagai agensi siap siaga hadapi MTL

101,901 anggota pelbagai agensi siap siaga hadapi MTL

am@hmetro.com.my

Puchong: Seramai 101,901 anggota daripada pelbagai agensi bersama ribuan aset penyelamat di seluruh negara, terbabit dalam penugasan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.

Berdasarkan penyelarasan antara agensi, seramai 47,100 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), 21,477 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), 15,145 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 12,927 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta 5,252 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), bersiap siaga menghadapi MTL.

Ketua Penolong Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Mejar Wazirudin Mahfot @ Mahbott, berkata penugasan dan penempatan aset ke kawasan MTL membabitkan penyelarasan antara agensi bagi memastikan operasi menyelamat, pemindahan mangsa dan pengurusan bencana dapat dilaksanakan dengan cekap sekiranya berlaku banjir atau bencana lain.

“Seramai 101,901 orang sumber manusia untuk agensi tindak balas dan juga pelbagai aset bantuan seperti kenderaan pacuan empat roda sebanyak 2,024 buah, pelbagai van, lori dan kereta sebanyak 1,177 buah serta ambulans 174 buah.

“Sebanyak 2,425 bot, 28 pesawat udara, 27 dron dan 35,301 jaket keselamatan turut disediakan bagi menyokong operasi menyelamat dan pemindahan mangsa di kawasan terjejas,” katanya pada Sesi Libat Urus Bersama Media: Ksiapsiagaan Kerajaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) tahun 2026/2027.

Katanya, agensi teknikal termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut menyediakan aset sokongan merangkumi 50 pikap, 31 kenderaan pelbagai jenis, tiga kenderaan penunda dan 17 jentera berat.

“Selain itu, kita juga mendapat bantuan daripada agensi teknikal seperti JKR dan JPS bagi membantu pengoperasian,” katanya.

Bagi tujuan pengoperasian, peruntukan sebanyak RM7 juta disalurkan, masing-masing RM3.6 juta kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan RM3.4 juta kepada agensi tindak balas.

Sebanyak 3,045 lokasi hotspot banjir dikenal pasti di seluruh negara tahun ini dengan Kelantan merekodkan jumlah tertinggi iaitu 609 lokasi, diikuti Pahang (572), Terengganu (460) dan Sabah (348).

Bagaimanapun, jumlah hotspot banjir menunjukkan trend penurunan berbanding 5,648 lokasi pada 2023, 4,619 lokasi pada 2024 dan 3,682 lokasi pada tahun lalu.

Sebagai persediaan menghadapi kemungkinan pemindahan penduduk, sebanyak 8,321 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) turut disediakan di seluruh negara dengan kapasiti keseluruhan yang mampu memuatkan 1,907,145 mangsa bencana.

Dari segi bantuan makanan pula, sebanyak 60,000 kit makanan dan 170,000 pek makanan retort diperuntukkan bagi menghadapi MTL 2026/2027.

Daripada jumlah itu, sebanyak 29,900 kit makanan dan 94,510 pek makanan retort diperuntukkan untuk pengagihan fasa pertama ke seluruh negeri, manakala bakinya akan diagihkan berdasarkan keperluan dan permohonan kerajaan negeri.

Langkah kesiapsiagaan itu menjadi sebahagian daripada penyelarasan antara agensi yang merangkumi pengurusan sumber, pemantauan kawasan berisiko, sistem amaran awal serta pengurusan mangsa bencana.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top