Indonesia dakwa Singapura jual semula gas

Indonesia dakwa Singapura jual semula gas

JAKARTA – Indonesia mendakwa Singapura menjual semula sebahagian gas asli cecair (LNG) yang diimport dari negara itu kepada pihak lain ketika hubungan kedua-dua negara berdepan ketegangan.

Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Bahlil Lahadalia berkata, beliau percaya sebahagian daripada 148 kargo LNG yang dihantar ke Singapura diperdagangkan dan dieksport semula.

Bagaimanapun, Bahlil tidak mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan tersebut.

Kenyataan itu menyusul selepas Indonesia mengurangkan eksport gas melalui saluran paip ke Singapura pada 24 Oktober bagi mengutamakan keperluan domestik.

Bahlil menegaskan pengurangan bekalan itu tidak melanggar kontrak sedia ada.

Sementara itu, Menteri Pelaburan Indonesia, Rosan Roeslani memberi jaminan komitmen pelaburan Singapura kekal kukuh meskipun kedua-dua negara berdepan perbezaan pandangan mengenai bekalan gas dan isu jerebu rentas sempadan. – Agensi

Scroll to Top