3,560 kematian akibat pencemaran udara di Indonesia pada September

3,560 kematian akibat pencemaran udara di Indonesia pada September

Jakarta: Pencemaran udara akibat asap kebakaran hutan dan tanah yang berlarutan selama berbulan-bulan di seluruh Indonesia menyebabkan kira-kira 3,560 kematian di kepulauan Asia Tenggara yang luas itu pada bulan September sahaja.

Menurut satu kajian saintifik pada bulan sama, kira-kira 57.8 juta orang terdedah kepada udara yang berada pada tahap tidak sihat hingga berbahaya.

Laporan itu dikeluarkan Pusat Penyelidikan Tenaga dan Udara Bersih (CREA), sebuah badan pemikir yang berpangkalan di Helsinki, Finland.

“Kualiti udara yang semakin merosot akibat kebakaran hutan dan tanah di Indonesia telah meningkatkan anggaran jumlah kematian kepada 3,560 kes pada September 2026, iaitu peningkatan dua kali ganda berbanding anggaran bagi Ogos,” menurut satu kenyataan daripada CREA.

Kajian tersebut menganggarkan jumlah kematian yang berpunca daripada pendedahan jangka pendek kepada pencemaran PM2.5, iaitu kematian yang berlaku dalam tempoh beberapa hari selepas pendedahan.

Kebanyakan kes berlaku di wilayah Indonesia di pulau Borneo serta di pulau Jawa, Sumatera dan bahagian timur negara itu.

Penyelidik turut meneliti pencemaran yang bukan berpunca daripada kebakaran, seperti pelepasan daripada kawasan bandar dan industri dan mendapati ia telah menyebabkan tambahan 1,750 kematian pada September, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 5,310 kematian di negara yang mempunyai populasi kira-kira 278 juta orang itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top