Pasangan kekasih dicekup separuh bogel dalam kereta

Pasangan kekasih dicekup separuh bogel dalam kereta

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Sepasang kekasih terpaksa menanggung malu apabila ditahan dalam keadaan separuh bogel oleh penguat kuasa agama selepas disyaki cuba melakukan persetubuhan di dalam kereta, malam tadi.

Pasangan berusia 17 dan 21 tahun itu ditahan pada 11.20 malam di tempat letak kenderaan Pura Kencana, Sri Gading, di sini.

Menurut Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), anggota penguat kuasanya menjalankan rondaan di sekitar taman perumahan itu sebelum terserempak dengan sebuah kereta yang diparkir di kawasan gelap.

“Sebaik menghampiri kenderaan itu, penguat kuasa mendapati enjin masih hidup, namun lampu kereta tidak dinyalakan. Anggota kemudian menggunakan lampu suluh dan ternampak kelibat individu di dalamnya.

“Ketika cermin kereta diketuk penguat kuasa, secara tiba-tiba kereta itu mengundur, namun pemandunya berhenti dipercayai selepas menyedari van JAINJ menghalang laluan. Apabila pintu dibuka, seorang lelaki dilihat berada di tempat duduk pemandu dengan hanya memakai baju-T tanpa seluar.

“Pada masa sama, penguat kuasa menemukan seorang remaja perempuan di tempat duduk belakang dalam keadaan hanya memakai seluar panjang tanpa baju,” menurut kenyataan itu.

JAINJ berkata, hasil soal siasat mendapati lelaki berusia 21 tahun itu masih bujang dan bekerja di Batu Pahat, manakala remaja perempuan berusia 17 tahun masih bersekolah.

Pasangan berkenaan ditahan dan akan didakwa mengikut Seksyen 24 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top