Hong Kong: Remaja yang mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap dihukum penjara lapan tahun selepas menyimbah asid ke arah seorang pelancong warga Singapura.
Serangan itu didakwa dilakukan dengan bayaran upah sebanyak $HK10,000 (kira-kira RM5,100), lapor South China Morning Post.
Hakim Mahkamah Tinggi, Andrew Chan Hing-wai semalam berkata, tertuduh, Anson Kew, 19, meninggalkan kesan sepanjang hayat terhadap mangsa, Jiang Wen, 36, yang mengalami kecederaan melecur tahap kedua dalam serangan pada 9 Jun 2025.
Kew dipercayai melakukan perbuatan itu ketika wanita berkenaan mahu memasuki kenderaan di Wan Chai. Mangsa menjerit kesakitan dan rebah selepas wajah serta kakinya seperti terbakar.
Kew yang berpakaian hitam serta memakai topi dan pelitup muka ketika itu kemudian melarikan diri.
Menurut laporan The Standard, cecair yang digunakan ialah asid sulfurik dengan kepekatan hampir 70 peratus.
Serangan itu menyebabkan Jiang dirawat di hospital selama 61 hari dan terpaksa menjalani beberapa prosedur untuk membuang tisu rosak serta cantuman kulit sebelum pulang ke Singapura bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Mangsa turut didiagnosis mengalami gangguan tekanan pascatrauma (PTSD) dan mengalami parut kekal. Laporan perubatan menunjukkan kira-kira 10 hingga 11 peratus permukaan tubuhnya melecur terutama pada muka dan anggota badan.
Bukti di mahkamah menunjukkan Kew meninjau lokasi serangan di Burrows Street, Wan Chai beberapa hari sebelum kejadian. Walaupun akhirnya menyerah diri kepada polis, dia tidak menjelaskan sebab menyasarkan mangsa atau sama ada mengenalinya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




