surayaroslan@mediaprima.com.my
Petaling Jaya: Seorang ahli perniagaan menjual bateri kereta mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas lima pertuduhan menggunakan dokumen palsu membabitkan pelabur dari China.
Tertuduh, Yeoh Jing Wei, 42, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Farah Azura Mohd Saad dan Majistret Amira Sariati Zainal.
“Faham, tidak mengaku bersalah,” katanya.
Bagi pertuduhan pertama hingga keempat, bapa tiga anak itu didakwa dengan curangnya menggunakan dokumen sebagai tulen iaitu Appointment of Director(s), Allotment of Shares, Change of Auditors dan Appointment of Tax Agent bertarikh 29 Ogos 2025 yang mana dia mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen berkenaan adalah palsu.
Bagi pertuduhan kelima, tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan sama dengan menggunakan dokumen Appointment of Mr Lim Kim Ming as Company Secretary and Compliance Officer bertarikh 29 Julai 2025.
Semua kesalahan didakwa dilakukan di sebuah premis syarikat di Jalan SS 6/1, Kelana Jaya, di sini.
Bagi empat pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama, manakala pertuduhan membabitkan dokumen pertukaran juruaudit pula mengikut Seksyen 471 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 468 kanun sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Syed Ahmed Khabir Abdul Rahman dan Ainul Athirah Jamalullail masing-masing memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam Arif Azmi yang mewakili tertuduh merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan dengan mengambil kira keadaan kewangan dan tanggungan keluarga anak guamnya.
Katanya, tertuduh yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak, dua daripadanya masih bersekolah, memperoleh pendapatan antara RM5,000 hingga RM6,000 sebulan bergantung kepada hasil jualan perniagaannya.
“Anak guam juga memberikan kerjasama penuh kepada polis sepanjang siasatan dan menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada Oktober lalu.
“Dia juga mempunyai keluarga di ibu kota dan tiada risiko untuk melarikan diri,” katanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan sebutan semula kes pada 15 Disember ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




