PUTRAJAYA: Pintu rundingan bagi memeterai Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) antara kerajaan sentiasa terbuka kepada mana-mana wakil rakyat yang berminat dan ia tidak terhad kepada 13 ahli Parlimen yang menandatangani perjanjian itu.
Jurucakap kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kerajaan sentiasa bersedia dan terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana ahli Parlimen yang berhasrat untuk memeterai CSA berkenaan.
“Tindakan menandatangani MoU (memorandum persefahaman) ataupun CSA ini tidak terbatas kepada 13 orang hli Parlimen ini sahaja dan terbuka kepada mana-mana ahli Parlimen yang berhasrat untuk datang, berbincang dan memeterai CSA.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Jadi, pintu perbincangan itu kekal terbuka,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.
Menurut Fahmi, perkara berhubung majlis menandatangani CSA antara 13 ahli Parlimen, termasuk enam daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan kerajaan Madani yang berlangsung di Parlimen semalam turut dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Menteri Komunikasi itu menjelaskan, perkembangan itu mencerminkan satu perkembangan positif terhadap kestabilan politik negara, selain semangat kebersamaan dalam melaksanakan beberapa usaha reformasi institusi.
Sementara itu, mengulas mengenai mekanisme pemantauan pelaksanaan reformasi yang dipersetujui menerusi CSA, beliau berkata, kerajaan boleh mempertimbangkan pendekatan penilaian bersama seperti yang pernah dilaksanakan menerusi CSA pada 2021 dan 2022.
Jelasnya, mekanisme sebelum ini melibatkan penilaian bersama oleh kedua-dua pihak bagi mengesahkan pelaksanaan perkara-perkara yang telah dipersetujui.
“Jadi dari segi mekanisme yang dibangunkan sewaktu CSA tahun 2021 dan 2022, memang ada penilaian bersama daripada kedua-dua pihak untuk mengesahkan perkara-perkara yang telah dijanjikan itu dilaksanakan. Kita lihat itu mungkin satu cara untuk kita laksanakan sama seperti apa yang pernah kita saksikan dahulu,” katanya.
Tambahnya lagi, kerajaan berhasrat melaksanakan segala perkara yang dijanjikan menerusi CSA berkenaan, khususnya membabitkan aspek reformasi institusi dengan sokongan yang diterima daripada ahli Parlimen terbabit.
Semalam, enam ahli Parlimen Bersatu termasuk Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin memeterai CSA dengan kerajaan, antara lain menetapkan dua reformasi utama perlu dilaksanakan Putrajaya sebagai timbal balas kepada sokongan mereka.
CSA itu menetapkan bahawa kerajaan memastikan tempoh jawatan Perdana Menteri dihadkan serta peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya diasingkan sebelum berakhir penggal pentadbiran semasa.
Sebagai balasan, enam ahli Parlimen pembangkang berkenaan akan menyokong Belanjawan 2027.
Majlis menandatangani perjanjian itu turut dihadiri lima hli Parlimen Bersatu yang lain iaitu Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin (Putrajaya), Mohd. Nazri Abu Hassan (Merbok), Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah (Langkawi), Datuk Ali Biju (Saratok) dan Datuk Azman Nasrudin (Padang Serai). – UTUSAN




