PM Anwar tegaskan tiada syarat Ahli Parlimen terima peruntukan CSA

PM Anwar tegaskan tiada syarat Ahli Parlimen terima peruntukan CSA

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada syarat dikenakan kepada Ahli Parlimen bagi menerima peruntukan menerusi Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA).

Foto: BERNAMA

Menurut beliau, penyaluran peruntukan berkenaan boleh dibuat segera selepas Belanjawan 2027 mendapat kelulusan Parlimen, sebagaimana persefahaman yang dicapai.

“Tak ada syarat kepada mana-mana Ahli Parlimen, tak ada syarat,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan.

Anwar turut diminta mengulas pandangan penganalisis politik bahawa CSA boleh menjadi peringatan kepada parti komponen kerajaan supaya tidak menarik sokongan terhadap pentadbiran atau belanjawan.

Menjawab perkara itu, beliau mengakui tafsiran politik sedemikian boleh timbul, namun menyifatkan persefahaman berkenaan sebagai amalan yang bukan luar biasa.

“Ini tafsiran politik, tak boleh kita pertikai, memang akan berlaku. Tetapi saya nak beritahu ini bukan sesuatu yang janggal,” jelasnya.

Beliau menjelaskan, pendekatan seumpama itu turut digunakan di negara demokrasi lain, malah pernah dilaksanakan di Malaysia ketika beliau mengetuai pembangkang semasa pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, rundingan pada waktu itu melibatkan wakil Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan yang dianggotai Bersatu, PAS, UMNO dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Menyifatkan persetujuan terbaharu itu sebagai perkembangan positif, Anwar berkata pendekatan sama juga boleh digunakan pihak lain sebagaimana yang pernah dilakukan kerajaan terdahulu.

Terdahulu, kerajaan menandatangani CSA dengan enam Ahli Parlimen Bersatu yang diketuai presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Tujuh Ahli Parlimen itu mahu tempoh jawatan perdana menteri dihadkan serta peranan peguam negara dan pendakwa raya diasingkan sebelum penggal pentadbiran semasa berakhir.

Mereka turut mahukan peruntukan pembangunan kawasan yang setara dengan jumlah diterima Ahli Parlimen penyokong kerajaan.

Sebagai balasan, mereka bersetuju menyokong pentadbiran Anwar sehingga tamat penggal Parlimen, termasuk memberikan sokongan kepada Belanjawan 2027.

Perjanjian berkenaan turut ditandatangani enam Ahli Parlimen yang dipecat daripada Bersatu pada 2024 selepas menyatakan sokongan kepada kerajaan.

Sumber: Free Malaysia Today (Nur Alif Hazmi)

Scroll to Top