am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) tidak perlu menandatangani Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) dengan Kerajaan kerana sokongan terhadap Belanjawan dan Rang Undang-Undang (RUU) yang dibentangkan di Parlimen selama ini sudah memadai.
Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, gabungan itu berpendapat sokongan yang diberikan terhadap Belanjawan dan RUU membuktikan komitmen pembangkang dalam memastikan pentadbiran negara berjalan lancar.
Beliau berkata, kerajaan tidak sepatutnya menjadikan CSA sebagai budaya baharu dalam politik negara, lebih-lebih lagi jika peruntukan hanya dijanjikan kepada Ahli Parlimen yang bersetuju menandatangani perjanjian berkenaan.
“Kerajaan sepatutnya mengiktiraf pilihan rakyat dan menyalurkan peruntukan kepada semua kawasan secara adil.
“Banyak peringatan Allah kepada pemimpin supaya berlaku adil kepada semua,” kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu ketika dihubungi, malam ini.
Beliau berkata, pembangkang selama ini tetap menyokong Belanjawan dan pelbagai RUU yang dibentangkan kerajaan, kecuali RUU bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri.
Bagaimanapun, katanya, RUU berkenaan juga tidak mendapat sokongan sebulat suara apabila terdapat Ahli Parlimen kerajaan yang turut menolaknya.
“Kita berharap kerajaan mempertimbangkan supaya peruntukan disalurkan kepada semua Ahli Parlimen bagi memperkukuh sistem demokrasi di negara ini,” katanya.
Tuan Ibrahim turut mengingatkan kerajaan supaya tidak menjadikan CSA sebagai alat ugutan atau sogokan kepada Ahli Parlimen.
Katanya, tindakan sedemikian tidak wajar ketika kerajaan sedang berusaha membanteras amalan rasuah dan sogokan dalam negara.
Media hari ini melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang menandatangani CSA akan disalurkan segera sebaik sahaja Belanjawan 2027 diluluskan Parlimen.
Beliau berkata, Belanjawan 2027 ketika ini pada peringkat perbahasan menerusi RUU Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat, dan dijangka diluluskan hujung tahun ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




