PDRM tunggu perkenan Agong sebelum tentukan penugasan baharu Mohd Shuhaily

PDRM tunggu perkenan Agong sebelum tentukan penugasan baharu Mohd Shuhaily

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum menentukan penugasan Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain selepas beliau kembali ke pasukan itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya masih menunggu proses mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong berhubung pemendekan tempoh pelantikan Mohd Shuhaily sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).

Beliau berkata, pelantikan Mohd Shuhaily ke jawatan itu dibuat Yang di-Pertuan Agong, justeru sebarang pemendekan tempoh perkhidmatannya memerlukan perkenan Seri Paduka Baginda.

“Sekiranya tempoh pelantikan itu hendak dipendekkan, ia mesti mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum beliau dikembalikan kepada PDRM.

“Sehingga perkenan itu diberikan, saya masih menunggu dan tidak dapat memastikan (penugasan seterusnya), tetapi sudah pasti beliau akan kembali kepada PDRM kerana beliau seorang pegawai polis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Makan Malam Jasamu Dikenang anjuran Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) di sebuah hotel di sini, malam ini.

Ditanya mengenai status tugas Mohd Shuhaily ketika ini, Mohd Khalid berkata, belum ada keputusan dimuktamadkan berhubung tindakan susulan terhadap pegawai kanan polis itu.

“Masih belum ada keputusan. Apabila beliau kembali kepada PDRM, barulah kita melihat tindakan selanjutnya yang boleh diambil berdasarkan peraturan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

“Kita ini kakitangan kerajaan, semuanya tertakluk kepada SPA dan juga Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP),” katanya.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengesahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah memutuskan untuk mengembalikan Mohd Shuhaily kepada PDRM.

Saifuddin berkata, keputusan menamatkan penempatan secara pinjaman Mohd Shuhaily di AKPS dibuat minggu lalu, manakala penugasan seterusnya akan ditentukan PDRM.

Rabu lalu, Mohd Khalid dilaporkan berkata, kedudukan Mohd Shuhaily sedang diteliti dan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum keputusan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Perkara itu turut dibangkitkan kepada SPP bagi menentukan tindakan lanjut mengikut peraturan perkhidmatan.

KDN dalam kenyataan Rabu lalu, turut memaklumkan urusan perkhidmatan Mohd Shuhaily masih dalam proses dimuktamadkan bagi memastikan ia dilaksanakan secara teratur mengikut peraturan dan tatacara berkuat kuasa.

Mohd Shuhaily dilantik sebagai Ketua Pengarah AKPS bagi tempoh dua tahun bermula 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2027, dan sebelumnya beliau menyandang jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sejak Ogos 2023.

Pada 21 Oktober lalu, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis.

Kedua-dua pertuduhan itu berkaitan kejadian di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top