nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) memohon kerajaan meneliti mekanisme yang mengambil kira keadaan mendesak beberapa kumpulan komuniti bagi pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Presiden PGIRM, Azmi Mohd Tahir berkata, langkah itu penting bagi pencarum yang kehilangan pendapatan, berdepan masalah kesihatan dan tidak lagi mempunyai keupayaan mencarum seperti sebelumnya.
“PGIRM berpandangan cadangan ini wajar dinilai melalui kajian rasmi, data dan penilaian impak yang menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Kami ingin menegaskan bahawa perlindungan simpanan hari tua dan keperluan kehidupan pencarum pada hari ini tidak seharusnya dilihat sebagai dua perkara yang saling menafikan.
“Atas sebab itu, PGIRM mengemukakan Kertas Dasar KWSP Bersasar kepada Pejabat Perdana Menteri pada 11 September lalu untuk pertimbangan kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azmi berkata, pihaknya menghormati tanggungjawab kerajaan dan KWSP untuk melindungi simpanan persaraan.
Namun, beliau mempersoalkan sama ada kewujudan Akaun Fleksibel sudah memadai untuk menjawab kesukaran semua kelompok pencarum.
“Kita juga perlu melihat keadaan pencarum yang kehilangan pekerjaan dan tidak lagi mempunyai caruman bulanan selain pekerja gig serta pekerja rentan yang berdepan pendapatan tidak menentu serta caruman tidak konsisten.
“Selain itu, ada pencarum yang menghidap penyakit kronik atau sakit kritikal sehingga menjejaskan keupayaan bekerja serta pencarum tidak aktif yang masih mempunyai simpanan tetapi berdepan kesempitan hidup.
“Pada masa sama, golongan suri rumah dan ibu tunggal yang mempunyai perlindungan persaraan terhad atau tiada caruman sendiri juga perlu diberi perhatian,” katanya.
Menurutnya, kemudahan Akaun Fleksibel yang bergantung kepada baki tersedia tidak secara automatik menyelesaikan masalah pencarum yang mempunyai baki terhad atau tidak lagi berupaya mencarum.
“Kami tidak meminta kerajaan membuka ruang pengeluaran tanpa batas. Cadangan PGIRM bukan pengeluaran bebas, sebaliknya berasaskan empat prinsip iaitu bersasar, bersyarat, terhad serta terkawal.
“Sekiranya kerajaan mempunyai alasan untuk tidak bersetuju, kami juga berharap asas pertimbangan dan hasil penilaian itu dapat dijelaskan secara terbuka,” katanya.
Katanya, kerajaan berhak mempertahankan simpanan hari tua, namun persoalan kehidupan pencarum pada hari ini juga tidak boleh diketepikan.
“Jangan jadikan kewujudan Akaun Fleksibel sebagai jawapan kepada semua persoalan tanpa meneliti realiti kehidupan kelompok pencarum yang berbeza-beza.
“PGIRM akan terus membawa suara pencarum melalui saluran rasmi berlandaskan fakta, prinsip dan kepentingan mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




