'Wakil rakyat memang perlu ada jaringan bantu rakyat' – Adly pertahan Mukhlis Mubin

'Wakil rakyat memang perlu ada jaringan bantu rakyat' – Adly pertahan Mukhlis Mubin

am@hmetro.com.my

Melaka: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari mempertahankan calon muda parti itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Mohammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah.

Ia berikutan dakwaan bahawa Mohammad Mukhlisul Mubin atau lebih dikenali Muklis Mubin, 25, menggunakan ‘kabel’ Perdana Menteri dan menyalahgunakan dana Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Adly berkata, Muklis Mubin bersama calon DUN Klebang, Farzana Hayani Mohd Nasir, 26, adalah antara wajah muda yang diketengahkan PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau berkata, Muklis Mubin sebelum ini aktif sebagai sukarelawan dan berhak mengusahakan bantuan kepada rakyat menerusi kerjasama dengan agensi berkaitan.

Katanya, hubungan calon itu dengan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Kamil Abdul Munim adalah atas dasar persahabatan dalam parti yang sama.

“Mungkin dia melihat semua perkara di sekelilingnya mempunyai potensi. Sebab itu dia dikaitkan dengan KPKM apabila memberikan bantuan.

“Saya fikir semua wakil rakyat yang dipilih ada (network) jaringan, terutama wakil rakyat dalam kerajaan untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat.

“Mereka (Gen Z) mahukan tindakan pantas, responsif dan penyelesaian terbaik terhadap masalah masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Hi-Tea PH bersama Kelab Pengamal Media Melaka (Pendika) di Ames Hotel, Ayer Keroh, hari ini.

Hadir sama, Pemangku Pengerusi MPN Keadilan Melaka Adam Adli dan Pengerusi Pendika, Amir Mamat.

Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, beliau menyokong usaha calon berkenaan, namun sentiasa mengingatkannya supaya bersedia menerima teguran dan memahami risiko setiap tindakan.

Mengulas tanggapan negatif terhadap Gen Z yang sering dilabel sebagai generasi ‘strawberi’, beliau berkata, label berkenaan tidak wajar dijadikan ukuran kemampuan golongan muda.

Katanya, Muklis Mubin dan Farzana adalah contoh anak muda berpendidikan serta berpengetahuan yang mampu berdepan tekanan, termasuk kecaman di media sosial.

“Saya ingatkan mereka, menang atau kalah adalah persoalan kedua. Paling penting ialah aspirasi mereka untuk memberikan khidmat kepada rakyat dan masyarakat pada usia yang masih muda,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top