Program KIBAR bukan sekadar dengar suara belia

Program KIBAR bukan sekadar dengar suara belia

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bukan sekadar platform mendengar suara golongan muda, malah menjadi medium memastikan inisiatif kerajaan sampai kepada kumpulan sasar.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata, program yang menggantikan inisiatif K-JOM itu memberi peluang kepada kementerian mendekati golongan belia secara lebih dekat.

Menurutnya, pendekatan itu membolehkan KBS mendapatkan maklum balas serta memahami keperluan sebenar golongan berkenaan.

Beliau berkata, penganjuran KIBAR kini hampir melabuhkan tirai dengan keseluruhan 17 siri dilaksanakan di seluruh negara.

Katanya, keberkesanan program itu tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah kehadiran peserta lebih 7,000 keseluruhannya setakat ini sebaliknya lebih penting ialah tahap pembabitan dan maklum balas diterima.

“Kita tidak melihat impak daripada jumlah peserta, tetapi perkara paling penting ialah pembabitan dan maklum balas yang kita terima daripada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program KIBAR peringkat negeri di Kompleks Sukan Air Terengganu, di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Terengganu, Asmadi Mohamad.

Mengulas maklum balas peserta, Mordi berkata, masih terdapat belia yang menganggap peranan KBS hanya tertumpu kepada pembinaan padang, gelanggang dan pemberian dana.

Katanya, fungsi kementerian perlu difahami secara lebih menyeluruh kerana turut merangkumi pembangunan belia dan sukan, selain memastikan inisiatif kerajaan dapat dimanfaatkan golongan sasar.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata isu penyelenggaraan kemudahan sukan selepas siap dibina antara perkara yang kerap dibangkitkan peserta.

Manakala pembangunan kemahiran menerusi Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus menjadi fokus KBS bagi meningkatkan kesiapsiagaan belia memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top