HLYM lancar rangkaian BLU, perluas pasaran motosikal berkuasa tinggi

HLYM lancar rangkaian BLU, perluas pasaran motosikal berkuasa tinggi

lizam.ridzuan@hmetro.com.my

Sungai Buloh: Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) mengembangkan perniagaan motosikal berkuasa tinggi menerusi pelancaran ekosistem rangkaian BLU yang merangkumi BLU Nexus, BLU Universe dan BLU Point.

Inisiatif itu turut menyokong sasaran syarikat meningkatkan penawaran daripada tujuh kepada lebih 20 model import siap dipasang sepenuhnya (CBU) dan pemasangan tempatan (CKD) dalam beberapa tahun akan datang.

Menurut HLYM, langkah itu susulan pertumbuhan pasaran motosikal berkapasiti 250cc dan ke atas yang mencatat peningkatan jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 73 peratus antara 2025 hingga 2026, dengan potensi mencapai 110,000 unit dalam jangka sederhana.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Yamaha Motor Co Ltd Jepun, Motofumi Shitara berkata, pelancaran itu menjadi pencapaian penting dalam usaha HLYM memperluas penawaran produk dan mengukuhkan kedudukan dalam pasaran tempatan.

“Yamaha sentiasa dikaitkan dengan semangat dan minat terhadap dunia permotoran. Kami berbesar hati kerana HLYM kini berupaya menawarkan rangkaian motosikal Yamaha yang lebih lengkap kepada pelanggan di Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Industries, Datuk Dr Jim Khor, berkata meskipun Yamaha memasuki pasaran berkenaan agak lewat, keadaan itu memberi peluang kepada syarikat membangunkan strategi lebih menyeluruh.

“Lewat tidak bermakna ketinggalan, sebaliknya, ia memberi peluang kepada kita untuk belajar, menilai pasaran dan memasuki segmen ini dengan strategi lebih kukuh serta menyeluruh,” katanya.

Pengembangan itu turut disokong kerjasama tiga pihak antara HLYM, Yamaha Motor Co Ltd dan DRB-HICOM Auto Solutions Sdn Bhd (DHAS) dalam aspek pengilangan, pengedaran dan pemasangan.

Menerusi rangkaian BLU, BLU Nexus berfungsi sebagai bilik pameran utama premium di Kompleks Hong Leong Yamaha, Sungai Buloh, manakala BLU Universe merangkumi 19 pengedar premium untuk model 250cc ke atas dan BLU Point mempunyai 43 pengedar bagi model sehingga 250cc.

BLU Nexus menampilkan enam kategori motosikal, selain koleksi pakaian dan barangan rasmi Yamaha dengan Empat pengedar pertama BLU Universe dijadualkan beroperasi menjelang akhir 2026, sebelum keseluruhan rangkaian itu diperkenalkan secara berperingkat sehingga suku pertama 2028.

Mulai 1 Januari 2027, BLU Universe menjadi saluran jualan rasmi bagi semua model CKD dan CBU HLYM berkapasiti 250cc ke atas.

Setiap pengedar turut dilengkapi pusat servis BLU Care yang menawarkan penyelenggaraan, alat ganti tulen Yamaha serta kemudahan tambahan untuk pelanggan.

Seiring pelancaran rangkaian itu, HLYM turut memperkenalkan Yamaha YZF-R9 pemasangan tempatan (CKD) sebagai model pertama di bawah ekosistem BLU pada harga RM68,000 atas jalan tanpa insurans.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top