Hari kedua Karnival Jom Heboh Johor Bahru 2026 terus gamit ribuan pengunjung

Hari kedua Karnival Jom Heboh Johor Bahru 2026 terus gamit ribuan pengunjung

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Karnival Jom Heboh (KJH) Johor Bahru 2026 di Angsana Johor Bahru Mall di sini, hari ini, yang masuk hari kedua terus meriah apabila semakin ramai penduduk Johor dan negara jiran, Singapura mengambil peluang cuti hujung minggu berkunjung ke situ.

Tinjauan mendapati mereka mula datang ke tapak program di Padang B itu seawal jam 9 pagi dan terus bertambah ramai menjelang lewat pagi dan awal tengah hari.

Keadaan itu dijangka berterusan sehingga malam ini.

Suri rumah, Shalizawati Sapar, 44, dari Batu Pahat berkata, dia menjadikan kunjungan ke program ini KJH sebagai ganjaran buat empat anaknya yang baru selesai menjalani peperiksaan di sekolah.

“Anak-anak saya memang suka datang KJH. Setiap tahun mereka akan ajak pergi. Bila mereka beritahu hujung minggu ini KJH di Johor Bahru, saya terus terfikir nak bawa mereka dan kebetulan pula peperiksaan sudah habis.

“Jadi memang sesuailah masanya, kira macam beri mereka ‘reward’, jalan-jalan sebab tamat peperiksaan. Memandangkan suami pun cuti hari ini, pagi-pagi tadi kami gerak dari Batu Pahat.

“Kami pun selalu ke KJH sebab nak berbelanja barangan murah-murah manakala anak-anak pula suka pergi reruai Tonton sebab banyak aktiviti. Mereka seronok juga bila sesekali dapat bertemu personaliti TV dan selebriti,” katanya yang berharap penganjuran KJH diteruskan setiap tahun.

KJH Johor Bahru 2026 membawakan pelbagai aktiviti menarik termasuk jualan reruai, persembahan artis tempatan, aktiviti kekeluargaan serta tawaran pelbagai barangan kegunaan harian.

Program ini yang diiktiraf sebagai ‘Longest Running Outdoor Carnival’ oleh The Malaysia Book of Records (MBOR) berlangsung selama tiga hari dan dijadual berakhir esok.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi, Media Prima Omnia, Datuk Efendi Omar berkata, cuaca baik hari ini memberi peluang ramai pengunjung datang meluangkan masa dan berharap momentum itu berterusan hingga esok.

“Cuaca hari ini sangat mengizinkan. Sambutan begitu luar biasa dan di luar jangkaan. Rata-rata pengunjung datang dengan keluarga, kita harap momentum ini dapat diteruskan sehingga petang ini hingga esok.

“Sudah tentu, kita akan terus sajikan pelbagai aktiviti menarik buat semua pengunjung. Malam ini, kita sajikan konsert menampilkan barisan artis yang cukup popular,” katanya ketika ditemui di sini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top