am@hmetro.com.my
Shah Alam: Siasatan awal Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengesyaki ayam mentah dari pusat penyembelihan dan pemprosesan di Puchong yang diserbu semalam, dipercayai diedarkan ke restoran milik orang Islam.
Siasatan mendapati ayam berkenaan dikatakan mati terlebih dahulu sebelum disembelih dan dibekalkan kepada restoran.
Pengerusi MAIS Datuk Salehuddin Saidin berkata, premis berkenaan didapati menggunakan kaedah air berarus elektrik (water bath stunning) dalam proses pengendalian ayam.
Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati kadar voltan elektrik yang digunakan dipercayai terlalu tinggi hingga menyebabkan ayam mati serta-merta sebelum melalui proses penyembelihan.
“Paling menyedihkan apabila kita bimbang bekalan ayam (sembelih tak sah) itu turut dibekalkan kepada restoran milik orang Islam.
“Mana mungkin kita membenarkan mereka yang tidak bertanggungjawab ini melakukan sedemikian.
“Untuk itu, saya menyeru umat Islam termasuk pemilik restoran untuk menyemak dahulu dari mana bekalan ayam mentah diperolehi, siapa yang menyembelih?
“Jika mereka (restoran) tidak ambil berat dari mana hasil bekalan ayam ini, (saya bimbang) ini akan menyebabkan umat Islam memakan makanan yang tidak halal,” katanya selepas program Deklarasi Fundamental Ahli Sunnah Wal Jamaah Peringkat Negeri Selangor Tahun 2026, di sini, hari ini.
Salehuddin berkata, siasatan awal mendapati premis berkenaan dimiliki orang Islam dan sudah lama beroperasi.
“Melalui siasatan awal, pemilik adalah orang Islam dan andai kata benar kilang itu melakukan perbuatan matikan ayam dulu sebelum disembelih, ini adalah satu perbuatan amat tidak bertanggungjawab.
“Kita akan pastikan orang begini diambil tindakan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, MAIS menerusi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan terus agresif menjalankan operasi bersepadu bersama agensi kerajaan lain bagi membanteras tindakan tidak bertanggungjawab berkenaan.
Menurutnya, premis berkenaan kini diarah tutup selama dua minggu bagi membenarkan siasatan dilakukan mengikut bidang kuasa agensi terbabit.
“Saya minta juga kepada orang ramai terutama pengusaha-pengusaha makanan yang mendapatkan bekalan daripada syarikat ini, menghentikannya. Tolonglah buat laporan kepada JAIS, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ataupun pihak polis.
“Kalau ada aduan begini kami akan mengambil tindakan segera,” katanya.
Semalam, media melaporkan lebih 6.5 tan ayam mentah yang disyaki diproses tanpa mematuhi kaedah penyembelihan mengikut hukum syarak dan keperluan persijilan halal, dirampas hasil serbuan terhadap gudang di Puchong.
Turut ditahan dalam Ops Taring Chiller itu adalah 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan yang dipercayai terbabit dalam aktiviti penyembelihan dan pemprosesan ayam di premis berkenaan.
Serbuan pada 12.40 tengah malam itu mendapati premis itu disyaki dijadikan lokasi penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam segar tanpa sijil halal yang sah.
Operasi berkenaan disertai PDRM, JAIS, JAKIM, Jabatan Alam Sekitar dan Pejabat Kesihatan Petaling.
© New Straits Times Press (M) Bhd




