nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM2.5 juta kepada beberapa masjid terpilih di Kelantan untuk dijadikan pusat dialisis.
Perdana Menteri berkata, peruntukan itu dilakukan menerusi Projek Dialisis Yayasan Waqaf Malaysia dengan kerjasama Radicare.
“Kerajaan melalui Projek Dialisis Yayasan Waqaf Malaysia dengan kerjasama Radicare untuk memudahkan orang ramai menerima kemudahan dialisis.
“Ini kerana kemudahan dialisis jauh, jadi sekarang kita gunakan masjid sebagai pangkalannya dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta.
“Peruntukan ini membabitkan beberapa masjid terpilih di Kelantan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sebarkan Salam dan Kota Bharu Berselawat di Dataran Muhammadi, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Pada masa sama, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM645,000 untuk pelaksanaan wakaf air dan pemasangan solar di beberapa masjid di Kelantan.
Beliau berkata, ini kerana terdapat masjid yang berdepan masalah bekalan air selain masalah elektrik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




