mukhsein.mukhtar@nst.com.my
Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) tidak akan menggunakan kempen memburukkan atau mencemarkan imej pihak lawan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sebaliknya, kempen parti itu akan memberi tumpuan kepada calon, rekod perkhidmatan, janji manifesto serta penyelesaian terhadap isu yang dihadapi pengundi.
Katanya, pengundi seharusnya menilai calon berdasarkan keupayaan, pengalaman dan perancangan mereka untuk membawa negeri itu ke arah kemajuan.
“Kita mahu memperoleh mandat berdasarkan kekuatan sendiri, bukannya dengan menjatuhkan pihak lain. Rakyat Melaka berhak membuat pilihan berdasarkan fakta, bukannya fitnah atau kebencian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azalina menggesa semua calon, petugas parti dan penyokong supaya berkempen secara adil dan bertanggungjawab, mematuhi peraturan pilihan raya serta mengelakkan sebarang provokasi yang membabitkan isu perkauman, agama dan institusi diraja.
Beliau turut menggesa jentera penerangan UMNO, termasuk sayap Wanita, Pemuda dan Puteri, supaya memperkukuh kempen digital, memandangkan 43.6 peratus pengundi Melaka berusia antara 21 hingga 40 tahun.
Beliau turut meminta ahli parti memperluas capaian kandungan media sosial rasmi calon BN melalui akaun tulen, komen yang membina serta interaksi secara semula jadi, di samping mengelakkan serangan peribadi.
“Pendekatan komunikasi kita perlu lebih dinamik, kreatif dan dekat dengan pengundi muda. Pastikan ruang digital dipenuhi maklumat yang tepat, kandungan menarik serta penjelasan berasaskan fakta yang disampaikan secara berhemah,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya meneliti dakwaan berkaitan akaun automatik, sekatan capaian kandungan yang dikenali sebagai ‘shadow ban’ serta pemadaman kandungan oleh platform digital.
“Jangan mudah terpengaruh dengan jumlah tanda suka, komen atau perkongsian yang luar biasa tinggi. Semak sumber, teliti fakta dan fikir terlebih dahulu sebelum berkongsi sesuatu maklumat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




