Dua wakil negara terkandas di separuh akhir

Dua wakil negara terkandas di separuh akhir

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Cabaran dua wakil negara di kejohanan badminton Terbuka Hylo terhenti di separuh akhir selepas kedua-duanya gagal meneruskan momentum kemenangan, sekali gus menyaksikan kempen Malaysia di kejohanan itu berakhir.

Hasrat beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-La Pei Jing untuk mengulangi pencapaian mara ke final seperti dilakukan pada Terbuka Perancis minggu lalu tidak kesampaian apabila tewas kepada pilihan kedua kejohanan yang juga juara di Paris, Thom Gicquel-Delphine Delrue.

Pasangan negara itu terpaksa akur selepas tewas kepada pasangan Perancis, 22-20, 21-16, 17-21 dalam pertarungan sengit yang berlangsung selama 70 minit.

Ia adalah penampilan kelima Pang Ron-Pei Jing di separuh akhir sejak mereka bergandingan.

Sementara itu, satu lagi wakil negara, Aaron Tai-Yap Roy King turut gagal mengesahkan tempat ke final selepas tewas kepada beregu Denmark, Christian Faust Kjaer-Rasmus Kjaer.

Pasangan negara itu memulakan aksi dengan baik apabila memenangi set pertama 21-18, namun gagal mengekalkan rentak sebelum tewas 15-21, 18-21 dalam pertarungan selama 59 minit.

Menariknya, rekod pertemuan kedua-dua pasangan kini terikat 1-1 selepas masing-masing meraih satu kemenangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top